Thursday , 19 July 2018

Home » Artikel Pilihan » Nikmati manuskrip Melayu lama dengan satu klik

Nikmati manuskrip Melayu lama dengan satu klik

March 21, 2018 1:50 pm Category: Artikel Pilihan, Nasional A+ / A-
Nikmati manuskrip Melayu lama dengan satu klik

SINGAPURA,. Saya sangat gembira apabila mendapati ratusan naskhah Melayu yang tersimpan rapi di British Library, United Kingdom, kini boleh dibaca dengan satu klik saja.

Manuskrip sejarah termasuk Hikayat Hang Tuah, Hikayat Tanah Jawa, Undang-undang Melaka dan Hikayat Nabi Yusuf boleh dibaca dalam bentuk digital melalui http://www.bl.uk/manuscripts/.

Dengan menggunakan kata kunci ‘Melayu’ atau ‘Jawi’, sesiapa saja dengan mudah dapat mengakses manuskrip berkenaan dalam laman sesawang itu.

British Library menyimpan sejumlah besar manuskrip Melayu di dalam repositorinya, kebanyakannya kesusasteraan, sejarah dan undang-undang yang ditulis dalam skrip Jawi, bermula dari abad ke-17 hingga akhir abad ke-19.

“Tidak banyak dalam koleksi kami. Hanya kira-kira 100 manuskrip Melayu. Kesemuanya sudah didigitalkan. Lengkap dari awal hingga akhir,” kata Lead Curator of Southeast Asian Material di British Library, Datuk Dr Annabel Teh Gallop kepada BERNAMA.

Gallop berada di sini baru-baru ini untuk membentang ceramah mengenai Art and Artists in Malay Manuscript Books sebagai acara sampingan pada Pameran Tales of the Malay World: Manuscripts and Early Books yang dianjurkan Perpustakaan Nasional Singapura dalam usaha mengkaji kesusasteraan Melayu tradisional.

Lebih 140 bahan dipamerkan, termasuk manuskrip tulisan tangan dan buku yang dilitograf lebih awal.

Pameran selama enam bulan yang berakhir 25 Februari lalu, mengkaji peralihan dari manuskrip tulisan tangan sehinggalah ke pencetakan buku awal abad ke-19.

Perpustakaan Nasional Singapura bekerjasama dengan Royal Asiatic Society of Great Britain and Ireland di British Library, dan Leiden University Library of the Netherlands, mempamerkan manuskrip yang jarang ditemui dari dunia sastera Melayu.

Ditanya sama ada manuskrip yang sama akan dibawa ke Malaysia, Gallop menjawab: “Ini bukan pertama kali manuskrip British Library dibawa ke Asia Tenggara.”

“Warkah-warkah Raja Melayu dibawa ke Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Kuala Lumpur sekitar 1994 dan sebelum itu buku cerita masa lampau sudah dipamer di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga di ibu negara,” katanya.

Terdahulu, dalam ceramahnya, beliau berkongsi mengenai iluminasi al-Quran dan manuskrip Islam lain.

Gallop berkata, beliau sangat yakin Munsyi Abdullah, bapa kesusasteraan Melayu moden, adalah juga ‘pencetus seni reka masa lampau Singapura.’

Pada masa itu, beliau berkata, Munsyi Abdullah bekerja dengan Benjamin Peach Keasberry untuk mencetak sejumlah besar buku.

“Ya benar, Keasberry mengelola pusat percetakan itu tetapi saya percaya bahawa Munsyi Abdullah sendiri yang mereka dan melukis iluminasi di dalam bukunya.

“Dalam manuskrip Hikayat Abdullah, Munsyi Abdullah menceritakan bahawa beliau belajar melukis sejak kecil. Oleh itu, saya yakin Munsyi Abdullah patut dianggap sebagai penyumbang penting bagi seni kreatif Singapura pada masa lampau,” katanya.

Menurut Gallop, seni yang dilihat dalam buku Melayu adalah terutamanya seni keagamaan dan contoh terbaik adalah iluminasi manuskrip di Asia Tenggara bukan saja didapati dalam karya sastera atau sejarah, malah dalam salinan al-Quran.

Pelbagai iluminasi mewah al-Quran dihasilkan di beberapa pusat kesenian seperti di Terengganu, Malaysia dan Patani di Thailand dan di seluruh kepulauan Indonesia dari Sumatera, Jawa ke Sulawesi dan Pulau Sumbawa.

Boleh dikatakan semua seniman yang menghasilkan karya seni indah itu tidak diketahui memandangkan maklumat mengenai seniman Melayu serta karya seni mereka tidak pernah didedahkan.

Bagaimanapun, Gallop berkata, dalam satu iluminasi manuskrip kesusasteraan Melayu dari British Library – Hikayat Nabi Yusuf, yang ditulis di Perlis pada 1802 – artis itu meletakkan tandatangannya sendiri.

Beliau berkata, seniman itu turut meletakkan ulasan dan anotasi yang memberi penjelasan mengenai selok-belok perdagangan buku di Semenanjung Melayu pada awal abad ke-19.

– BERNAMA

scroll to top