Saturday , 19 January 2019

Home » Dunia » Nilai Jeff Bezos, individu terkaya di dunia terjejas selepas bercerai

Nilai Jeff Bezos, individu terkaya di dunia terjejas selepas bercerai

January 11, 2019 12:24 pm Category: Dunia A+ / A-
Nilai Jeff Bezos, individu terkaya di dunia terjejas selepas bercerai

Jeff Bezos

NEW YORK,. Pengumuman perceraian antara pengasas syarikat e-dagang Amazon, Jeff Bezos, 54, dan isterinya, MacKenzie Tuttle, 48, diramalkan bakal menjejaskan kekayaan yang dimiliki individu terkaya di dunia itu.

Bezos dianggarkan memiliki nilai kekayaan sebanyak AS$136 bilion (RM556.74 bilion) dan jika ia dibahagi sama rata, MacKenzie yang juga seorang penulis novel, bakal menjadi wanita terkaya di dunia.

Selain itu, ramai yang meramalkan apa yang akan berlaku terhadap Amazon, termasuk sama ada bekas isterinya akan memiliki kepentingan saham dan adakah ia akan menjejaskan kawalan Bezos terhadap syarikat syarikat teknologi multinasional itu.

Lagipun, MacKenzie sentiasa bersama Bezos, iaitu ketika Amazon mula beroperasi dari sebuah garaj di Seattle pada 1994, hinggalah syarikat itu meraih kejayaan hari ini.

Pasangan terbabit dilaporkan bertemu pada 1992, ketika Bezos masih lagi bertugas sebagai pengurus dana lindung nilai di Wall Street, sebelum beliau menceburi bidang keusahawanan.

Mereka dikatakan berkahwin pada 1993 dan mempunyai tiga anak lelaki dan seorang anak angkat perempuan berusia dalam lingkungan belasan tahun.

Bezos dan MacKenzie mengumumkan perpisahan secara rasmi, kelmarin selepas tidak lagi tinggal sebumbung sejak sekian lama.

Menurut laman web selebriti TMZ, pasangan itu tidak mempunyai perjanjian pra perkahwinan, yang bermakna semua harta dan aset akan dibahagi sama rata.

Mengikut dokumen yang disaksikan oleh AFP, Bezos dan MacKenzie berkahwin di Florida pada September 1993, tetapi lokasi kediaman terakhir pasangan itu bakal menentukan beberapa faktor dalam prosiding perceraian mereka.

MacKenzie dan Bezos dilaporkan mempunyai beberapa kediaman di Seattle, Washington DC, Texas dan Beverly Hills, California. – AFP

scroll to top