Saturday , 25 May 2019

Home » Dunia » NTJ dituduh dalangi serangan dengan bantuan ‘rangkaian antarabangsa’

NTJ dituduh dalangi serangan dengan bantuan ‘rangkaian antarabangsa’

April 23, 2019 12:28 pm Category: Dunia A+ / A-
NTJ dituduh dalangi serangan dengan bantuan ‘rangkaian antarabangsa’

COLOMBO,. Kerajaan Sri Lanka berkata semalam, pengeboman terancang ke atas gereja dan hotel di seluruh negara ketika Easter kelmarin dilakukan kumpulan radikal tidak dikenali, Thowheeth Jama’ath Nasional (NTJ), dengan bantuan militan antarabangsa.

Jurucakap kerajaan dan Menteri Kesihatan, Rajitha Senaratne berkata, pihak berkuasa percaya, NTJ menjadi dalang serangan kelmarin ke atas tiga gereja dan tiga hotel mewah di mana 290 orang terkorban.

Pihak berkuasa berkata, 24 orang ditahan dan mereka sedang mencari kaitan antara kumpulan itu dan penyokong asing.

“Kami tidak melihat sebuah organisasi kecil dalam negara dapat melakukan kesemuanya,” kata Senaratne.

Kerajaan Sri Lanka mengakui, lebih 10 hari sebelum serangan, satu agensi perisikan asing memberi pegawai keselamatan amaran terperinci ancaman mungkin terhadap gereja oleh NTJ.

Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe berkata kelmarin, beliau dan pegawai atasan kerajaan tidak dimaklumkan mengenai ancaman itu dan ‘pihaknya perlu meneliti mengapa langkah berjaga-jaga tidak diambil.’

Satu analisis oleh kerajaan Sri Lanka terhadap cebisan mayat di tiga gereja dan tiga hotel mengenal pasti tujuh pengebom melakukan serangan.

Kebanyakannya dilakukan pengebom tunggal namun dua menyasarkan Hotel Shangri-La di sini. Pengeboman di sebuah rumah tetamu dan tempat persembunyian suspek masih disiasat.

Pakar anti-keganasan mengatakan, serangan terancang dan tersusun, semestinya memerlukan pembiayaan dan kepakaran daripada kumpulan asing lebih berpengalaman.

“Pemilihan sasaran dan jenis serangan menjadikan saya ragu-ragu bahawa ini dilakukan kumpulan tempatan tanpa sebarang pembabitan luar.

“Tiada alasan kumpulan pelampau tempatan menyerang gereja dan sedikit alasan untuk menyerang pelancong,” kata Amarnath Amarasingam, seorang pakar keganasan Sri Lanka di Institut untuk Dialog Strategik, kumpulan penyelidikan anti-keganasan berpusat di London.

Sri Lanka, sebuah negara kepulauan Lautan Hindi dilanda berdekad perang saudara yang berakhir pada 2009, namun sedikit sejarah keganasan militan Islam. Pengeboman bunuh diri hanya bermula pada 1980-an dijalankan gerila daripada minoriti etnik Tamil yang majoriti Hindu, bukan Muslim.

Pengarah Pusat Kajian Keganasan, Anne Speckhard berkata, serangan didakwa dilakukan NTJ itu bertentangan dengan apa yang dilakukan gerila Tamil.

“Serangan ini jelas agak berbeza dan kelihatan seperti dilakukan ISIS (Daesh), Al-Qaeda, buku militan global, oleh kerana ia berpunca daripada kebencian agama dengan menyerang beberapa gereja ketika hari sambutan keagamaan,” katanya.

NTJ adalah kumpulan kecil Islam yang diasaskan sekurang-kurangnya tiga tahun lalu di timur Sri Lanka, dan sehingga bulan ini, kumpulan itu secara umum dianggap anti-Buddha, kata pakar anti-keganasan.

Naib Presiden analisis taktikal di Stratfor, sebuah firma rundingan geopolitik berpusat di Austin, Texas, Amerika Syarikat (AS). Scott Stewart mengakui, serangan berjaya itu agak luar biasa untuk kumpulan tanpa rekod melakukan serangan skala besar.

Katanya, siapa sahaja yang mereka bentuk ves mengandungi bom dalam letupan kelmarin menunjukkan kepakaran dan gambar memberi petunjuk pembuat bom memiliki akses kepada bahan letupan gred tinggi tentera.

Persoalan utama ialah jika polis Sri Lanka melakukan secukupnya untuk menepis kebimbangan serangan akan datang.

Ketua Polis Sri Lanka, Pujuth Jayasundara mengeluarkan amaran 11 April lalu, mengatakan ‘agensi perisikan asing’ melaporkan, NTJ merancang serangan ke atas gereja dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India dengan pihak gereja mengakui serangan tidak mustahil.

Jurucakap kerajaan bagaimanapun berkata, Jayasundra sepatutnya menimbang meletak jawatan susulan serangan. -NYT/AFP

scroll to top