Friday , 25 May 2018

Home » Nasional » Pakatan selesai agih kerusi DUN Selangor

Pakatan selesai agih kerusi DUN Selangor

March 13, 2018 11:25 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Pakatan selesai agih kerusi DUN Selangor

SHAH ALAM,. Rundingan pakatan harapan (PH) berhubung agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah selesai.

Sumber berkata, kepemimpinan PH Selangor dijangka membuat pengumuman berhubung perkara itu hujung minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan.

Katanya, berdasarkan persetujuan wakil empat parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP masing-masing akan bertanding 15 kerusi, manakala masing-masing 13 kerusi bagi Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan ada perubahan saat akhir. Jika ada perubahan sekali pun, ia adalah untuk kebaikan semua pihak.

“Atas sebab persefahaman ini rundingan agihan kerusi DUN Selangor yang bermula lebih sebulan lalu berjalan lancar,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Bagaimanapun, sumber itu enggan mengulas lanjut sama ada Amanah akan bertanding kerusi DUN milik PAS, atau PPBM di kerusi Barisan Nasional (BN).

“Kita tunggu pengumuman mengenainya. Kita berpendapat keputusan yang dicapai ini akan memuaskan hati pemimpin serta ahli setiap parti,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan rundingan agihan kerusi DUN Selangor yang dijalankan sejak sebulan lalu masih buntu.

Media melaporkan berdasarkan keputusan awal rundingan, PKR dikatakan akan bertanding 19 kerusi DUN, DAP (18), PPBM (10), dan Amanah (sembilan), namun ia dibantah PPBM dan Amanah.

Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehuddin Amiruddin, juga dilaporkan berkata parti itu kekal dengan pendirian untuk bertanding kerusi yang disandang BN.

Pada PRU-13, BN menang 12 kerusi iaitu DUN Sungai Burong, Jeram, Kuang, Semenyih, Permatang, Bukit Melawati, Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Batang Kali, Kota Damansara dan Dengkil.

Amanah pula bertegas mahu bertanding kerusi DUN disandang PAS iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Chempaka, Meru, Dusun Tua, Tanjung Sepat, Sabak, Gombak Setia, Bangi, Seri Serdang, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Hulu Klang.

ADUN Hulu Klang, Saari Sungib, dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin, bagaimanapun keluar PAS untuk menyertai Amanah.

Ketika ini, DAP menyandang 14 kerusi DUN Selangor, PKR (13), PAS (13), BN (12) dan PAN (dua) dan Bebas (dua).

Dua ADUN Bebas ialah Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Teluk Datuk, Loh Chee Heng yang sebelum ini dari DAP.

scroll to top