Tuesday , 16 October 2018

Home » Nasional » Pampasan PERKESO RM3.27b tahun lalu

Pampasan PERKESO RM3.27b tahun lalu

February 14, 2018 8:23 am Category: Nasional A+ / A-
Pampasan PERKESO RM3.27b tahun lalu

Datuk Seri Dr Richard Riot

KUALA LUMPUR,. Sebanyak RM3.27 bilion pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dibayar kepada pekerja yang mengalami kemalangan di tempat kerja, tahun lalu

Jumlah itu meningkat berbanding pampasan RM2.9 bilion yang dibayar pada 2016 dan RM2.6 bilion pada tahun sebelumnya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Richard Riot Jaem, berkata pembayaran pampasan yang besar itu adalah berikutan peningkatan kadar kemalangan pekerja di tempat kerja.

“Keadaan ini amat membimbangkan. Jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh memberi imej negatif kepada wawasan negara sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2050.

“Peningkatan kemalangan ini turut menyebabkan industri kehilangan pekerja mahir, menurunkan kadar produktiviti, selain pekerja dan ahli keluarga kehilangan mata pencarian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penghargaan dan Pelantikan Ahli Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) 2018 – 2021, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kadar kemalangan negara pada 2016 adalah 2.88 kes bagi 1,000 pekerja berbanding pada 2015 dengan jumlah 2.81 kes.

Katanya, kemalangan maut di tempat kerja pula mencatatkan 4.84 kes bagi 100,000 pekerja, manakala industri pembuatan mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi diikuti industri pembinaan.

Beliau turut menyuarakan perasaan sedih dengan insiden kebakaran yang berlaku di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP), Petaling Jaya, pagi tadi.

“Saya bersyukur kerana kemalangan itu tidak meragut nyawa dan saya serahkan kepada pihak bomba untuk jalankan siasatan,” katanya.

scroll to top