Tuesday , 23 October 2018

Home » Nasional » PAS Kedah dakwa kenyataan AMANAH kebudak-budakan

PAS Kedah dakwa kenyataan AMANAH kebudak-budakan

June 12, 2018 11:31 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
PAS Kedah dakwa kenyataan AMANAH kebudak-budakan

DR Ahmad Fakharuddin Fakhrurazi

ALOR SETAR: Kenyataan Pengerusi Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh ke atas PAS berhubung isu perlantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat lebih bersifat spekulasi dan kebudak-budakan apabila tidak memahami situasi yang berlaku.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakharuddin Fakhrurazi, berkata Dr Ismail sepatutnya menunjukkan contoh berjiwa besar serta mempunyai sikap keterbukaan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak menjadi kesalahan andainya jawatan Speaker DUN diserahkan kepada PAS yang mempunyai 15 kerusi.

Katanya, tindakan terbabit tidak menjejaskan pentadbiran negeri kerana jawatan kepemimpinan sedia ada seperti Menteri Besar dan barisan EXCO terdiri dari kalangan ADUN PH.

“Kenyataan Dr Ismail lebih berbaur emosi dan tidak matang sedangkan dirinya itu adalah seorang pemimpin yang berpengalaman. Sikap menuduh secara tidak langsung memperlihatkan sikap tidak profesional beliau dalam mengurus politik Kedah yang penuh dengan seni.

“Tuduhan melulu kononnya PAS gila kuasa mendesak agar berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak berasas sama sekali kerana semuanya bergantung kepada nasihat dan budi bicara Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kepada Sultan Kedah.

“Bagi mengatasi isu terbabit, semua pihak perlu menjadikan Undang-undang Tubuh Negeri Kedah sebagai asas penyelesaian kepada kemelut ini dan tidak mewujudkan suasana tegang serta cuba menimbulkan kekeliruan dan curiga dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Dr Ahmad Fakharuddin menganggap tidak adil meletakkan tekanan kepada PAS dalam isu Speaker DUN sedangkan jalan keluar sudahpun ditawarkan dengan penubuhan kerajaan perpaduan yang menjadi amalan di beberapa negara Eropah.

“Amalan terbabit bukanlah sesuatu yang baharu dalam amalan demokrasi maka PAS mengambil amalan terbabit sebagai jalan penyelesaian isu penyelesaian bagi DUN Kedah,” katanya.

Mengulas mengenai kerajaan perpaduan, Dr Ahmad Fakharuddin berkata, Dr Ismail juga dilihat tidak memahami konsep amalan terbabit apabila meminta PAS mengamalkannya di Kelantan dan Terengganu.

“Adakah beliau (Dr Ismail) tidak menyedari bahawa PAS memiliki majoriti yang cukup di dua negeri terbabit maka kenapa perlu mewujudkan kerajaan perpaduan,” katanya.

NSTP semalam melaporkan Dr Ismail yang juga EXCO Penerangan, Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar negeri menyifatkan PAS gila kuasa dan tamak apabila masih terus berpolemik mengenai perlantikan Speaker DUN Kedah dengan menyatakan kesediaan menghadapi PRN.

Ia susulan Sabtu lalu, media melaporkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan pihaknya bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk PRN jika isu pelantikan Speaker DUN gagal diselesaikan dalam masa terdekat.

scroll to top