Thursday , 18 January 2018

Home » Bisnes » Pasaran hartanah 2018 fokus pembangunan rumah mampu milik

Pasaran hartanah 2018 fokus pembangunan rumah mampu milik

January 14, 2018 6:50 pm Category: Bisnes A+ / A-
Pasaran hartanah 2018 fokus pembangunan rumah mampu milik

KUALA LUMPUR,. Prospek pasaran hartanah negara tahun ini dijangka lebih memfokuskan kepada pembangunan rumah mampu milik berdasarkan trend pemaju yang ingin memenuhi permintaan segmen hartanah itu yang semakin bertambah.

Pada masa sama, ia juga dapat meningkatkan tahap persaingan dalam kalangan pemaju apabila mereka berusaha menghabiskan unit yang belum terjual bagi mengekalkan momentum pertumbuhan pendapatan syarikat.

Menurut laporan bahagian penyelidikan bank terkemuka Singapura, DBS Group Research, penurunan jualan hartanah dijangka menjadi cabaran utama bagi sektor berkenaan dan pemaju menghadapi kesukaran, termasuk berdepan kekangan dasar pinjaman bank yang semakin ketat.

“Bank lebih berhati-hati terhadap sektor hartanah walaupun ada minat tinggi yang ditunjukkan pembeli berpotensi, terutama pembeli rumah pertama atau menaik taraf kediaman lebih baik.

“Dalam tempoh terdekat, potensi harga rumah akan dihadkan berikutan persaingan sengit dan peningkatan penawaran yang dapat dilihat berdasarkan pertumbuhan lebih perlahan sejak beberapa suku lalu,” katanya dalam laporan penyelidikan mengenai Fokus Industri Malaysia-Hartanah.

Laporan itu turut menyebut, gabungan faktor berkenaan menyebabkan pemaju menjadi lebih bijak dan memilih pelancaran pembangunan hartanah dan produk ditawarkan dalam pasaran.

“Pemaju mungkin akan mengalami margin lebih rendah kerana perlu melalui tekanan kos tambahan bagi harga jualan lebih tinggi apabila sentimen lemah.

“Pada masa sama, pemaju yang memiliki simpanan tanah yang kini bernilai tinggi mungkin perlu menyemak semula pelan induknya bagi pasaran hartanah mewah kerana ia tidak mungkin dapat menandingi keadaan pasaran semasa,” katanya.

Mengulas prestasi pasaran hartanah untuk 2018, DBS Group Research melaporkan prestasi sektor masih kekal perlahan meneruskan aliran menurun sejak tiga tahun lalu.

“Kami menjangkakan tahap kemampuan masih rendah, sentimen lemah akan berterusan dan pembeli berpotensi masih bersikap tunggu dan lihat pada separuh pertama tahun ini menjelang pilihan raya umum yang diadakan tahun ini,” katanya.

Katanya, jumlah urus niaga hartanah di Malaysia dicatatkan sebanyak 4.3 peratus pada sembilan bulan pertama 2017, yang mana sebahagian besarnya merangkumi hartanah kediaman dan komersial dengan masing-masing 62 peratus dan tujuh peratus daripada jumlah transaksi.

scroll to top