Monday , 22 October 2018

Home » Nasional » Pastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang pendidikan – TPM

Pastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang pendidikan – TPM

October 12, 2018 7:19 am Category: Nasional A+ / A-
Pastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang pendidikan – TPM

KUALA SELANGOR,. Kerajaan prihatin dan ingin memastikan setiap kanak-kanak diberi peluang untuk mendapat pendidikan, hidup sihat, berjaya dan menikmati kegembiraan serta kesejahteraan dalam kehidupan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata untuk tujuan itu kerajaan menyokong segala usaha untuk mewajibkan pendidikan kanak-kanak sehingga ke peringkat sekolah menengah.

“Faktor pendidikan ini juga merupakan salah satu pemangkin usaha-usaha yang kini dijalankan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi pasangan bukan Islam dan pasangan Islam.

“Saya turut difahamkan sebanyak 98 peratus daripada mereka yang berusia dari tujuh hingga 17 tahun adalah berdaftar dengan institusi persekolahan,” katanya ketika menyempurnakan penutupan Persidangan Wanita dan Pembangunan Keluarga 2018 di Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya di sini, hari ini.

Menurut Dr Wan Azizah, kerajaan juga telah merangka pelbagai program dalam Dasar dan Pelan Tindakan Kanak-Kanak Negara untuk membina kehidupan kanak-kanak yang lebih selamat dan sejahtera.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata usaha itu dilaksanakan bagi menjamin hak dan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.

“Dalam lawatan saya ke Jakarta baru-baru ini, saya dimaklumkan bahawa Indonesia sedang dalam rangka usaha menjadikan 524 daerah dalam negara tersebut sebagai ‘Mesra Kanak-Kanak’ atau Child Friendly berdasarkan 24 indikator (KPI).

“Daripada 514 daerah di Indonesia, sejumlah 369 daerah telah bersedia dan berikrar untuk menyahut usaha tersebut.

“Ini adalah sesuatu yang boleh kita kaji secara mendalam untuk mendapatkan manfaat bagi negara kita pula,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top