Sunday , 24 March 2019

Home » Nasional » PBT harus patuhi manual kerja, aliran kerja bagi elak rasuah – Dr Mahathir

PBT harus patuhi manual kerja, aliran kerja bagi elak rasuah – Dr Mahathir

December 10, 2018 3:47 pm Category: Nasional A+ / A-
PBT harus patuhi manual kerja, aliran kerja bagi elak rasuah – Dr Mahathir

Perdana Menteri (tengah) bersama orang ramai pada majlis Konvensyen Pemerkasaan PBT bertemakan 'Bandar Kita Milik Kita' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA,. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus mematuhi manual kerja, fail meja dan aliran kerja dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mengikut masa ditetapkan bagi mengelakkan kejadian rasuah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata ini kerana sistem pentadbiran yang diperkenalkan untuk memudahkan pentadbir-pentadbir menjalankan tugas mereka secara efisen dan cekap serta tidak terlalu kompleks.

Berucap pada Konvensyen Pemerkasaan PBT di sini hari ini, Dr Mahathir berkata tujuan sistem itu adalah bagi membolehkan mana-mana pegawai meluluskan permohonan secara tertib tanpa menunggu pegawai lain memberi kelulusan.

“Kadang-kala meluluskan sesuatu keputusan, pegawai itu perlu menuggu pegawai lain untuk meluluskan permohonan itu. Ini akan melambatkan kerja. Sebaliknya jika pegawai itu menumpukan pada tugasnya mengikut fail meja, maka kerja akan berjalan licin dan cepat.

“Dengan cara ini, kita akan dapat menentukan segala urusan berjalan dengan berkesan. Adalah juga penting pemohon tahu apakah prosedur dalam mengemukakan permohonan untuk membina rumah, hotel atau menara bagi memudahkan urusan pentadbiran,” kata Dr Mahathir.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengingatkan warga kerja PBT agar tidak melambatkan dalam meluluskan permohonan kerana apabila sesuatu permohonan dilambatkan, ia boleh membawa kepada kejadian rasuah antara pegawai dan pemohon.

“Perlu diingat sepanjang masa bahawa kuasa bukan untuk kegunaan sendiri tetapi kuasa adalah bagi menjayakan tugas-tugas dipertanggungjawab ke atas para pegawai PBT.

“Kalau kita salah guna kuasa, sudah tentu masyarakat akan menerima beban yang amat berat kerana pembangunan perlu dilaksanakan dengan belanja lebih tinggi,” katanya.

Dr Mahathir berkata insiden rasuah akan terjadi apabila pegawai sengaja melewat-lewatkan permohonan, menyebabkan pemohon terpaksa menunggu lama dan akan ‘menghulurkan sedikit’ (wang) agar ia dapat dipercepatkan.

“Apabila ada dihulurkan, pegawai itu merasakan sekiranya permohonan atau keputusan itu sengaja dilambatkan, maka ada nikmat boleh didapati. Maka, ini adalah permulaan rasuah dalam kerajaan.

“Apabila pemimpin tinggi salah guna kuasa besar, maka seluruh jentera kerajaan akan terlibat dengan rasuah. Kerana itu (rasuah), pembangunan negara tidak akan dicapai seperti diharap rakyat,” kata beliau.

Menurut Dr Mahathir, jika susunan jentera kerajaan tidak diatur rapi dan diberikan tugas tertentu, pentadbiran akan menjadi kucar-kacir dan tidak bergerak secara teratur dan berkesan.

“Hari ini, kali pertama dalam 60 tahun, kita melihat kepada pertukaran pemerintahan. Mungkin dahulu PBT sudah faham dan tahu apa harus dilakukan, tetapi sekarang dengan pemerintahan baharu, adalah penting bagi kita memahami apakah tujuan pemerintahan baru dan cara-cara melaksanakan perubahan itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan baru telah memperkenalkan satu manifesto yang lengkap, akan tetapi ia (manifesto) dibuat sebelum menjadi pemerintah serta pihak yang membentuk manifesto itu dipercayai tidak mempunyai pengetahuan atau tidak faham tentang keadaan sebenar negara.

Oleh itu, katanya, manifesto sedia ada tidak dapat dilaksanakan serta-merta, dan akan mengambil masa untuk membina pentadbiran yang mampu melaksanakan tugas mengikut manifesto.

“Kalau lambat sedikit melaksanakan manifesto, adalah tidak mengapa asalkan pemikiran kita sesuai dengan tugas yang ditentukan manifesto. Dalam susunan kerajaan, ia terdiri daripada pemimpin, Kabinet dan badan pentadbiran. Antara kabinet dan pentadbiran perlu ada sefahaman dan kerjasama agar dapat melaksanakan usaha-usaha yang diterangkan di dalam manifesto,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut melancarkan aplikasi i-Tegur, satu inisiatif pembangunan aplikasi mudah alih secara dalaman oleh KPKT bagi memudahkan orang ramai membuat aduan kepada PBT melalui telefon bimbit.

Menurut KPKT dalam satu kenyataan, aplikasi itu yang merupakan saluran aduan tunggal adalah bertujuan untuk menjalin hubungan akrab PBT dan rakyat melalui penyediaan saluran aduan yang mesra pengguna dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, serta membolehkan pemantauan dan pengurusan secara lebih berkesan.

Aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma di Google Play serta Apple store dan maklumat lanjut mengenainya boleh didapati di http://i-tegur-kpkt/gov.my.

Kira-kira 3,000 peserta menghadiri konvensyen dua hari bertemakan ‘Bandar Kita Milik Kita’ itu yang dianjurkan untuk memperkukuhkan peranan PBT selaras dengan hala tuju kerajaan baharu dan memberikan peluang kepada anggota majlis ke arah menjadikan perkhidmatan PBT lebih dinamik.

— BERNAMA

scroll to top