Tuesday , 24 April 2018

Home » Dunia » Pekerja Filipina di Kuwait mahu pulang

Pekerja Filipina di Kuwait mahu pulang

February 12, 2018 12:59 pm Category: Dunia A+ / A-
Pekerja Filipina di Kuwait mahu pulang

Presiden Rodrigo Duterte

Lebih 2,200 rakyat Filipina bersedia menerima tawaran Presiden Rodrigo Duterte untuk meninggalkan Kuwait susulan laporan penderaan ke atas pekerja, kata Setiausaha Buruh Filipina, Silvestre Bello III.

Duterte mengarahkan syarikat penerbangan Philippine Airlines dan Cebu Pacific menyediakan pesawat untuk rakyat negara itu yang mahu meninggalkan Kuwait, selepas mayat pekerja Filipina ditemui dalam penyejuk beku sebuah pangsapuri terbiar.

“Kami dimaklumkan sehingga Jumaat lalu, kira-kira 2,200 rakyat Filipina bersedia untuk pulang,” kata Bello sambil menambah sesetengah mereka sudah tinggal melebihi tempoh dan memohon pengampunan.

Bello berkata, syarikat penerbangan sudah mengatur pesawat sewa khas percuma dan hampir 500 pekerja Filipina dijangka pulang dalam masa terdekat.

Januari lalu, Filipina menggantung penghantaran pekerja ke Kuwait selepas laporan penderaan oleh majikan menyebabkan sesetengah mangsa membunuh diri.

Jumaat lalu, Duterte berkata, tempoh penggantungan itu kekal.

Timbalan Menteri Luar Kuwait, Khaled al-Jarallah, melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan kenyataan Duterte Januari lalu, mengatakan prosiding perundangan sudah diambil dalam empat kes bunuh diri dimaksudkan beliau.

Kementerian Luar Filipina menganggarkan lebih 250,000 rakyat negara itu bekerja di Kuwait majoritinya sebagai amah. Sejumlah besar turut bekerja di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Qatar. – Reuters

scroll to top