Thursday , 18 January 2018

Home » Bisnes » Pelaburan swasta kekal berdaya tahan – RAM BCI

Pelaburan swasta kekal berdaya tahan – RAM BCI

January 11, 2018 2:16 pm Category: Bisnes A+ / A-
Pelaburan swasta kekal berdaya tahan – RAM BCI

DATUK Sri Dr K Govindan ketika berucap pada taklimat media berhubung hasil kaji selidik terkini RAM BCI.

KUALA LUMPUR,. Indeks Keyakinan Perniagaan RAM (RAM BCI) menunjukkan aktiviti pelaburan swasta dijangka kekal berdaya tahan pada 2018, manakala Indeks Kecil Pengambilan Pekerja Korporat mencadangkan lebih banyak syarikat akan mengambil pekerja baharu tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif RAM Holdings Bhd, Datuk Sri Dr K Govindan, berkata bacaan positif RAM BCI secara keseluruhan merentas korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencadangkan momentum ekonomi Malaysia kekal berada di landasan kukuh.

“Ini terutamanya kerana aktiviti pembangunan keupayaan, seperti pengembangan perniagaan dan pelaburan modal, dan cadangan untuk mengambil pekerja baharu kekal aspek paling positif,” katanya pada taklimat media berhubung hasil kaji selidik terkini RAM BCI, di sini hari ini.

RAM BCI menunjukkan bahawa prestasi perniagaan dijangka meneruskan momentum positif berikutan syarikat kekal yakin akan prospek perniagaan memasuki suku pertama dan suku kedua 2018.

Bagaimanapun, segmen PKS menunjukkan prospek perniagaan yang sedikit rendah berbanding korporat.

Govindan berkata, ini kerana beberapa faktor, seperti kekurangan dari aspek skala ekonomi, keanjalan operasi dan kesediaan mendapatkan pembiayaan.

“Ini mencadangkan agensi dan badan tadbir PKS perlu terus memantau prestasi PKS dan meningkatkan bantuan bagi membantu mereka menangani cabaran jangka pendek dan ketidaktentuan lain,” katanya.

Kaji selidik RAM BCI membabitkan sekitar 3, 500 responden terdiri daripada 974 syarikat dan 2,500 PKS termasuk yang terbabit dalam e-perdagangan.

scroll to top