Saturday , 25 May 2019

Home » Nasional » Pelajar pesakit kronik juga perlu berpeluang tuntut ilmu

Pelajar pesakit kronik juga perlu berpeluang tuntut ilmu

April 24, 2019 7:37 am Category: Nasional A+ / A-
Pelajar pesakit kronik juga perlu berpeluang tuntut ilmu

SHAH ALAM,. Peluang menuntut ilmu pengetahuan seharusnya diberikan kepada semua pihak, khususnya pelajar yang menghidap penyakit kronik.

Isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkata golongan berkeperluan khas ini amat memerlukan sokongan dan galakan bagi membolehkan mereka merealisasikan impian yang terbantut disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Kita sering tidak nampak mereka, atau terlupa mereka ada dalam masyarakat kita, tetapi kita tahu golongan ini mengharapkan pertolongan dari kita. Kalau kita insafi diri, yang faham ada golongan tidak bernasib baik seperti kita, kita akan hulurkan khidmat kepada yang perlukan.

“Sungguhpun sakit, mereka berhak dapat pelajaran dan ada cita-cita sendiri, bakat tersendiri yang ingin majukan diri seperti rakan-rakan lain. Mereka tidak dapat ke sekolah atas sebab tertentu, dan kita boleh bantu mereka kerana dengan izin Allah jika mereka sihat di masa depan, mereka akan dapat lanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dr Siti Hasmah yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia) berkata demikian ketika melancarkan Program Sinar KASIH di Management & Science University (MSU) di sini, petang ini.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Industri Utama, Teresa Kok; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad; Timbalan Yang Dipertua KASIH Malaysia, Datin Seri Shamsidar Taharin; Pengarah program Sinar KASIH Datin Norlin Shamsul Bahri; dan Presiden MSU Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab. Yajid.

Sinar Kasih merupakan program ‘home coaching’ untuk pelajar berkeperluan khas, khususnya pelajar sekolah menengah yang menghidap penyakit kronik dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Ia juga berperanan membantu pelajar berkenaan dalam mendidiknya iaitu dari segi khidmat nasihat, kaunseling dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Dr Siti Hasmah berharap program itu akan dapat memberi manfaat kepada golongan sasar.

Beliau turut berkongsi pengalamannya yang pernah membantu menjaga seorang remaja lelaki OKU (spastik) berumur 17 tahun tetapi berperwatakan seperti berusia 10 tahun.

“Saya jaga dan tengok dia buat ukiran, lukisan dan saya rasa lebih dekat kepada dia, namun beliau telah meninggal dunia. Lepas itu saya tidak sanggup nak terlibat lagi, sebab terlibat secara emosi dengan remaja tersebut.

“Disebabkan itu saya nasihatkan guru yang dipilih kena faham sensitiviti pelajar-pelajar ini, dan guru itu sendiri kena kuat emosinya. Kalau cikgu pun sama emosi tidak stabil, bagaimana mereka nak didik pelajar ini, emosi tidak stabil tidak boleh ada dalam diri guru terlibat,” katanya.

Sementara itu, Norlin berkata, program yang merupakan kerjasama antara KASIH Malaysia, MSU dan Kementerian Pendidikan itu melibatkan dua pelajar dari 46 kawasan Parlimen.

“Bagi fasa pertama, kami mensasarkan dua pelajar di 46 kawasan Parlimen yang merupakan kawasan menteri dan timbalan menteri. Seterusnya di masa depan ia akan diperluaskan kepada semua Parlimen,” katanya.

Projek rintis Sinar Kasih menyaksikan pelajar tingkatan empat terpilih, akan mengikuti modul pembelajaran yang disediakan MSU melibatkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah bagi tempoh dua tahun dengan diketuai oleh seorang guru yang bertindak sebagai penyelaras program.

— BERNAMA

scroll to top