Sunday , 16 December 2018

Home » Bisnes » Pelan pertingkat infrastruktur digital negara sedang dibangunkan – SKMM

Pelan pertingkat infrastruktur digital negara sedang dibangunkan – SKMM

November 23, 2018 7:26 am Category: Bisnes, Nasional, Teknologi A+ / A-
Pelan pertingkat infrastruktur digital negara sedang dibangunkan – SKMM

KUALA LUMPUR,. Kerajaan sedang membangunkan sebuah pelan untuk melabur dan mempertingkatkan infrastruktur digital negara bagi memastikan ketersediaan perkhidmatan jalur lebar yang lebih meluas dengan menggalakkan persaingan, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam satu kenyataan malam ini, berkata SKMM memberi fokus utama terhadap mempertingkatkan infrastruktur digital, dan isu-isu seperti pemberian hak laluan akan terus dibincangkan dengan kerajaan-kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Menangani isu-isu sedemikian dengan berkesan akan membantu dalam mengurangkan kos pelaksanaan infrastruktur dan membolehkan liputan lebih luas untuk jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Ketersediaan infrastruktur digital adalah faktor penting bagi memastikan manfaat ekonomi dan pertumbuhan saksama dapat dinikmati semua negeri dan bukan sekadar beberapa kawasan terpilih dalam negara,” demikian menurut badan penyeliaan industri komunikasi dan multimedia negara.

Langkah lain yang dipertimbangkan termasuklah meliberalisasikan aktiviti-aktiviti dalam sektor-sektor strategik kurang kompetitif, di samping menggunakan segala instrumen kawal selia sedia ada untuk memastikan ketersediaan infrastruktur bertaraf dunia di Malaysia.

“Kajian-kajian sedang dijalankan untuk memastikan penggunaan spektrum yang optimum dan perancangan 5G pada 2019,” kata SKMM.

Menurut kenyataan itu, dasar kerajaan adalah kritikal dalam memastikan rakyat dapat menikmati manfaat hasil daripada usaha-usaha yang dilaksanakan, sama ada untuk meningkatkan infrastruktur digital ataupun mengurangkan kos penempatan dan harga kepada pengguna.

Memetik laporan The Alliance for Affordable Internet (A4AI), kenyataan itu menyatakan dasar-dasar aktif kerajaan Malaysia, dan ketelusan badan kawal selia telah melonjakkan Malaysia ke tangga pertama daripada 61 negara.

“Kedudukan berkenaan mengambil kira dasar-dasar kerajaan yang menyokong peluasan akses awam, infrastruktur digital dan penggunaan telefon pintar,” kata SKMM.

Kenyataan itu menjelaskan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) yang berkuat kuasa pada April 1999 mengandungi empat rangka kerja pengawalseliaan utama iaitu ekonomi, teknikal, sosial dan perlindungan pengguna bagi membangunkan industri komunikasi dan multimedia.

Apabila perjanjian Kerjasama Awam-Swasta dimeterai antara kerajaan dan Telekom Malaysia (TM) untuk membangunkan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi pada 2008, pelaksanaan tiga perkhidmatan borong dalam Senarai Capaian iaitu ‘Full Access’, ‘Line Sharing’ dan ‘Sub-Loop Service’ telah ditangguhkan untuk tujuh tahun.

Selama tempoh itu, TM boleh menawarkan perkhidmatan atas dasar rundingan komersial tanpa sebarang campur tangan kawal selia daripada SKMM.

Sejak 2001, SKMM menyediakan rangka kerja kawal selia capaian kepada kemudahan dan perkhidmatan apabila Senarai Capaian pertama dikeluarkan diikuti harga maksimum yang ditetapkan untuk kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan pada 2003 dengan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP).

Pada 2015, SKMM melaksanakan kajian semula dan menerbitkan Penentuan Suruhanjaya Mengenai Senarai Capaian (Commission Determination on Access List).

Menurut kenyataan itu, Senarai Capaian mengawal selia kemudahan dan perkhidmatan seharusnya disediakan oleh penyedia perkhidmatan secara borong kepada penyedia perkhidmatan lain bagi memastikan persaingan lebih berkesan dan memberi pelbagai pilihan perkhidmatan, sekali gus meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan seterusnya harga lebih menarik.

Berbeza dengan negara lain seperti Australia, United Kingdom, Singapura dan New Zealand yang melakukan pemisahan struktur atau fungsi untuk rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi bagi menggalakkan persaingan untuk kepentingan pengguna, SKMM sehingga kini belum mempertimbangkan langkah seumpamanya kerana instrumen sedia ada sudah memadai.

Pada 2016, satu kajian semula terma-terma dan syarat capaian dilaksanakan selain daripada harga dan penentuan Suruhanjaya Standard Mandatori Mengenai Capaian (Commission Determination on the Mandatory Standard on Access) dikeluarkan untuk memastikan capaian kepada rangkaian ditawarkan secara adil dan tanpa diskriminasi.

Kajian semula ke atas kos dijalankan pada 2017 untuk menentukan harga capaian untuk kemudahan dan perkhidmatan yang disenaraikan dalam Senarai Capaian menerusi Siasatan Awam, dengan para pemegang lesen dan orang awam diberi peluang untuk membuat penghujahan termasuk operator utama.

“Semua operator utama seperti Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Berhad, TTdotcom Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Berhad mengemukakan penghujahan menyeluruh kepada SKMM. Selain itu operator lain seperti U Mobile Sdn Bhd, edotco Malaysia Sdn Bhd, webe Digital Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd turut mengemukakan penghujahan,” menurut kenyataan itu.

MSAP yang dikeluarkan pada Disember 2017, mengawal selia harga borong untuk kemudahan dan perkhidmatan dalam Senarai Capaian, termasuk buat pertama kalinya, perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi berkuat kuasa pada 1 Jan 2018.

MSAP yang dilaksanakan sepenuhnya pada Jun 2018, membawa impak positif, menyaksikan harga borong lebih rendah untuk capaian kepada rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi mendorong kepada persaingan lebih hebat dan kelajuan perkhidmatan jalur lebar bertambah baik.

Menurut kenyataan itu, kaji selidik dilakukan The Speedtest Global Index pada Oktober 2018 mendapati Malaysia naik 10 anak tangga menjadi negara ke-26 di dunia untuk kelajuan internet dengan purata kelajuan 61.97 Mbps berbanding dengan purata kelajuan global, 50.88 Mbps.

Dalam kalangan negara ASEAN, melainkan Singapura, Malaysia berada di kedudukan tertinggi, di hadapan Thailand (33), Vietnam (62) dan Indonesia (92) dari 130 negara.

Situasi itu jauh berbeza berbanding dengan beberapa bulan sebelum itu, dan laporan Bank Dunia pada Februari 2018 mendapati purata kelajuan muat turun di Malaysia hanya 22.56 Mbps.

— BERNAMA

scroll to top