Friday , 21 September 2018

Home » Bisnes » Pelantar Bunga Pakma mula hasilkan gas

Pelantar Bunga Pakma mula hasilkan gas

July 9, 2018 4:34 pm Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Pelantar Bunga Pakma mula hasilkan gas

Platform gas Bunga Pakma terletak di sempadan perairan Malaysia-Vietnam. - Foto ihsan Repsol Oil & Gas Malaysia

KUALA TERENGGANU,. Repsol Oil and Gas Malaysia Ltd dalam landasan tepat untuk memenuhi aspirasi syarikat apabila mula menghasilkan gas di satu daripada enam telaga minyak dalam Kawasan Pembangunan Bersama Bunga Pakma di sempadan perairan Malaysia-Vietnam.

Pengarah Unit Perniagaan Repsol Malaysia, Jorge Milathianakis, berkata pengeluaran daripada telaga minyak pertama Bunga Pakma adalah hasil kerjasama dengan dua rakan kongsinya iaitu PETRONAS dan PetroVietnam.

Beliau berkata, kejayaan itu sesuatu yang amat membanggakan, lebih-lebih lagi ia bukan sahaja dilaksanakan mengikut jadual, malah membabitkan kos lebih rendah daripada jangkaan awal.

“Faktor penyumbang utama kejayaan projek ini adalah berikutan sokongan kuat daripada dua rakan niaga kami.

“Kebanyakan hasil gas akan dibeli oleh Vietnam, manakala selebihnya bakal digunakan secara intensif di Malaysia,” katanya.

Milathianakis berkata, selain sokongan jitu rakan niaga PETRONAS dan PetroVietnam, pihaknya juga berbangga dengan keupayaan pekerja tempatan yang menjadi tenaga terbesar dalam projek Bunga Pakma itu.

Beliau berkata, pada 12 Mei lalu, pelantar Bunga Pakma -A (BP -A) berjaya mengeluarkan 50 juta kaki padu gas dan ia dijangkakan berterusan membabitkan kadar sama setiap hari.

“Sehingga kini, Repsol dan dua rakan kongsi kami sudah membuat pelaburan lebih RM678.5 Juta (AS$170) bagi menjayakan projek itu.

“Setakat ini pihak kami amat berpuas hati dengan hasilnya,” katanya kepada NSTP yang mengikuti lawatan ke pelantar Bunga Pakma, baru-baru ini.

Milathianakis berkata, pelantar Bunga Pakma yang dijangka mampu mengeluarkan hasil sehingga 15 tahun akan datang, menggunakan teknologi baharu yang menggunakan kabel ‘subsea’ untuk penghantaran tenaga dan gentian optik untuk berkomunikasi serta peralatan canggih lain antaranya ‘electro hydraulic’ dan ‘valve-system’.

Katanya, BP-A adalah kejayaan kedua syarikat dalam industri minyak dan gas selepas projek Pembangunan Kinabalu di perairan Sabah.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Unit Kawasan Russia dan Asia Repsol, Fernando Rigardo, berkata projek Bunga Pakma mempunyai lebih 1,000 pekerja tempatan yang merekodkan masa kerja sebanyak 1.44 juta jam tanpa berlaku kecederaan.

“Malaysia adalah destinasi pelaburan penting dan Repsol menumpukan sasaran untuk terus melebarkan sayap pernigaan di negara ini, sekali gus komited mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan di negara ini,” katanya.

Repsol wujud di Malaysia sejak 28 Mei 2011 dan membuat majlis perasmian ringkas pelantar Bunga Pakma membabitkan majlis menandatangani plak yang dilakukan oleh tiga wakil syarikat rakan niaga Repsol, PETRONAS dan PetroVietnam.

Dalam majlis itu, Repsol diwakili Milathianakis manakala PERONAS pula mewakilkan Ketua Pengeluaran dan Operasi Pengurusannya, Ruslan Ghani dan PetroVietnam menerusi Pengurus Besar Petroleum Pengurusan Kontraknya, Vuong Minh Quang.

scroll to top