Friday , 21 September 2018

Home » Nasional » Pelantikan ikut peraturan, Perlembagaan negeri – Shafie Apdal

Pelantikan ikut peraturan, Perlembagaan negeri – Shafie Apdal

May 13, 2018 11:56 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Pelantikan ikut peraturan, Perlembagaan negeri – Shafie Apdal

KOTA KINABALU,. Ketua Menteri Sabah yang baru dilantik, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata proses pelantikannya sebagai Ketua Menteri mengikut peraturan dan Perlembagaan negeri.

Mohd Shafie yang mengangkat sumpah di Istana Negeri di sini, pada jam 9.15 malam tadi, berkata pelantikannya dibuat selepas Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berpuas hati apabila mendapati beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Kita sudah menghantar kepada TYT (Tuan Yang Terutama) surat mengandungi perakuan daripada ADUN yang menyokong saya, malah TYT memanggil mereka sendiri tanpa kehadiran saya.

“Selepas itu, atas keyakinan TYT bahawa jumlah mencukupi (majoriti), pagi tadi (semalam) beliau memanggil Musa (Tan Sri Musa Aman) untuk (menasihat) meletak jawatan,” katanya pada sidang media di rumahnya di sini, malam ini.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) berkata, tiada keperluan untuk memanggil persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini bagi menamatkan situasi ‘dua Ketua Menteri’ ketika ini kerana pelantikannya jelas mengikut undang-undang dan Perlembagaan negeri.

“Beliau (Musa) tidak mampu bertahan untuk terus kekal sebagai Ketua Menteri, satu cara ialah membawa perkara ini ke mahkamah, namun kita boleh melihat apa yang berlaku di Perak (pada tahun 2009),” katanya.

Susulan pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri, ADUN Senallang itu berkata, anggota Kabinet negeri yang baharu akan diumumkan secepat mungkin.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan melantik enam ADUN dilantik (yang tidak bertanding PRU-14) atau yang tewas) bagi mengukuhkan pentadbiran kerajaan negeri pimpinannya.

“Apa yang kita laung dan janji dalam kempen (pilihan raya), wakil rakyat kita tidak akan jadi pengerusi badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebab nak mereka fokus khidmat kepada rakyat.

“Sebanyak 61 GLC di Sabah akan diurus tadbir oleh pihak yang kita percaya boleh mengambil tanggungjawab dengan baik dan berkesan,” katanya.

Ketika ini, Sabah berdepan pergolakan politik apabila Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Istana Negeri, Khamis lalu, menafikan beliau meletak jawatan.

Malah, tengah hari tadi, Musa mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri yang pertama di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini.

scroll to top