Saturday , 17 November 2018

Home » Politik » Pelihara rukun kehidupan manusia

Pelihara rukun kehidupan manusia

April 24, 2015 8:41 am Category: Politik A+ / A-

Datuk Seri Mohamad Hasan

Abdul Hadi memberikan penjelasan berkenaan hukum hudud, kelmarin. Turut kelihatan, Mohamad.

Abdul Hadi memberikan penjelasan berkenaan hukum hudud, kelmarin. Turut kelihatan, Mohamad.

KELMARIN diadakan Bicara Minda & Sesi Dialog; Hudud Dari Kaca Mata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Program yang diadakan di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf dikendalikan moderator, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar yang merupakan Penganalisis Hal Ehwal Malaysia dan Antarabangsa. Berikut transkrip penuh program berkenaan.

Perbincangan tentang hudud merupakan salah satu daripada syariah Islam. Mestilah mukadimahnya kita memahami terlebih dahulu Islam itu sendiri yang berbeza dengan agama lain yang tidak boleh ditakrifkan sebagai agama sahaja atau religion mengikut fahaman orang Barat. Islam adalah addin yang tercakup di dalamnya seluruh aspek naluri atau fitrah sifat semula jadi manusia dalam hubungannya dengan ALLAH, dirinya sendiri, masyarakat manusia, alam sekeliling, dunia sehingga akhirat.

Maka Islam itu termasuk di dalamnya akidah, syariah, akhlak dan sistem. Dalam syariah itu pula di dalamnya ibadat, munaqahat, jenayah, muamalat, politik, ekonomi, sosial. Dalam aspek syariah itu pula khusus bagi pemerintahan negara, di dalamnya meliputi segala undang-undang bermula daripada perlembagaan sehinggalah undang-undang berkaitan pemerintahan negara, keluarga, mualamat, jenayah dalam negara dan antarabangsa.

Bila bincang tentang hudud tidak boleh bincang hudud saja, ada kaitan dengan akidahnya, keluarga, syariat, masyarakat, aspek kehidupan manusia. Hudud adalah salah satu daripada tiga undang-undang jenayah Islam iaitu qisas, hudud dan takzir. Di mana undang-undang ini untuk memelihara lima rukun kehidupan manusia iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Di sana ada perkara yang berkait dengan hak ALLAH SWT. Ditakrifkan itu ialah berkait dengan kepentingan sifat maruah semula jadi manusia yang dikurnia oleh ALLAH SWT.

Yang kedua, berkait dengan hak manusia. Hudud adalah perkara berkait hak manusia di mana kalangan ulama sepakat, saya ambil perkara yang disepakat saja. Di mana bila kita gubal undang-undang jenayah di Kelantan, kita ambil enam perkara yang tiada khilaf dalam kalangan ulama iaitu berkait dengan riddah (murtad) untuk menjaga agama bagi orang Islam saja, yang berkait dengan akal iaitu hukuman minum arak. Yang berkait dengan keturunan iaitu zina dan qazaf, yang berkait dengan harta iaitu curi dan rompak.

Qisas dan hudud adalah undang-undang yang dinaskan oleh ALLAH di dalam al-Quran dan dinaskan oleh Nabi Muhammad SAW dengan izin ALLAH. Bila kita sebut hudud, bermakna bukan hudud Pas atau Umno. Bukan hudud Imam Syafie atau hudud Nabi Muhammad SAW.

Tetapi hudud ALLAH SWT, ALLAH yang menentukan. Ini mesti faham dulu. Kalau ada orang sebut hudud Pas, orang itu tidak faham hudud. Hudud bermakna sempadan ALLAH. Tegasnya undang-undang hudud ini disebut dalam surah al-Baqarah, surah al-Maidah dan surah an-Nur. Kisah dalam surah al-Baqarah, pelaksanaannya dalam surah an-Nisa. Hudud yang berkait dengan mencuri surah al-Maidah. ALLAH tetapkan dengan jelas kepada yang mencuri di potong tangan, lelaki atau perempuan. Berzina bagi yang sudah berkahwin direjam, bagi belum berkahwin disebat 100 sebatan, tuduh zina 80 sebatan, minum arak disebut dalam hadis Nabi SAW antara 40 hingga 80 sebatan. Murtad ialah hukuman bunuh setelah diminta taubat.

Memang undang-undang ini sangat menggerunkan, tetapi untuk laksanakannya perlu lihat dari tiga aspek utama iaitu kehakiman, pelaksanaan hukumnya dan konsep mendahulukan maaf daripada menjatuhkan hukuman. Dari segi kehakimannya, Islam mewajibkan seorang hakim yang budiman, beriman, berakhlak dan tinggi maruahnya. Tahu dosa dan pahala. Prinsip kehakimannya ialah mencari jalan sedaya upaya untuk dibebaskan. Apabila ada yang buat kesalahan hudud dan mengaku, maka kena nasihat supaya dia bertaubat. Disebut oleh Nabi SAW bertaubat lebih baik daripada menyerah diri. Bertaubat antara dia dan Tuhan dan digalakkan seseorang itu bertaubat. Bukan serah diri dihukum. Ataupun dibuktikan dengan saksi. Dalam kes zina mestilah empat saksi yang adil, beriman, budiman, berakhlak dan bermaruah. Kalau tak cukup tuduhan, tiada empat saksi, maka yang menuduh dikenakan 80 sebatan. Jika tiga saja atau keterangannya bercanggah, maka empat saksi kena sebat. Seolah-olah macam mustahil nak tuduh dan hukumannya menggerunkan, nak bukti juga payah.

Tetapi ini hudud yang kita kena faham.

scroll to top