Saturday , 25 May 2019

Home » Sukan » Peluang Pahang calar rekod, tamat dominasi Liga Super JDT

Peluang Pahang calar rekod, tamat dominasi Liga Super JDT

April 25, 2019 7:50 am Category: Sukan A+ / A-
Peluang Pahang calar rekod, tamat dominasi Liga Super JDT

Dollah Salleh

KUALA LUMPUR,. Pahang memiliki segala kekuatan untuk muncul pasukan pertama menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali gus menggugat misi mempertahankan kejuaraan Liga Super skuad ‘Harimau Selatan’ itu dalam saingan musim ini.

Menikmati permulaan musim liga terbaik dalam tempoh sedekad, skuad ‘Tok Gajah’ cemerlang mengharungi 10 aksi tanpa kalah dan kini dipisahkan dua mata di belakang JDT yang mengungguli persada liga dengan 26 mata selepas turut mencatat rekod bersih setakat ini.

Bagaimanapun, Pahang berpeluang mengubah kedudukan itu dan merampas gelaran pendahulu sekiranya berjaya memanfaatkan aksi di laman sendiri ketika melayani kunjungan JDT dalam perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super, Ahad ini.

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, tidak mustahil buat Pahang mengutip tiga mata penuh pada pertembungan di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu, namun menegaskan prestasi dan reputasi dimiliki JDT termasuk rekod cemerlang di tempat lawan musim ini harus diambil kira.

“Kita kena menang…kita bermain di tempat sendiri kita kena gunakan kelebihan itu. JDT dengan reputasi dan keinginan mempertahankan kejuaraan itu menjadikan mereka sebuah pasukan yang sukar ditewaskan tetapi ia tidak mustahil, Pahang pernah kalahkan mereka beberapa kali sebelum ini.

“Pemain semua bermotivasi dan bersedia untuk menghadapi perlawanan Ahad ini meskipun menyedari JDT datang dengan pengalaman mereka bermain di peringkat tertinggi Asia. Kedua-dua pasukan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Dollah, yang juga antara bekas pemain ternama skuad kebangsaan, berkata barisan anak buahnya harus tampil dengan semangat juang tinggi dan bermain sebagai sebuah pasukan seperti yang dipamerkan dalam perlawanan-perlawanan terdahulu.

“Tiada istilah kita kena bermain bertahan atau menyerang. Bagi saya bermain di gelanggang sendiri atau lawan pemain perlu sentiasa memberikan yang terbaik. Cuma untuk aksi ini saya harap pemain dapat berikan lebih dari biasa kita pamerkan,” tambah beliau.

Berdasarkan statistik, JDT berjaya meraih dua kemenangan dengan meledak lapan gol dan bolos lima dalam empat aksi di gelanggang lawan, sementara Pahang menang dua dalam empat aksi di Stadium Darul Makmur dengan rekod hanya dibolosi dua gol dan menghasilkan enam jaringan.

Justeru, jika mengambil kira prestasi terkini Pahang, juara Piala FA 2018 itu dilihat sebagai satu-satunya pasukan yang memiliki kemampuan untuk mengancam dan meletakkan titik noktah kepada episod kejuaraan lima kali berturut-turut JDT sejak 2013.

Pada masa sama, legenda pertahanan negara Datuk Jamal Nasir Abdul Ismail menyifatkan Pahang mempunyai keseimbangan pasukan yang mantap dan tidak berdepan masalah mengutip tiga mata penuh.

“Saya rasa Pahang mampu menang. Kedua-dua adalah pasukan hebat dan JDT kita tahu musim ini tidak kalah lagi tetapi Pahang mempunyai kekuatan tersendiri…mereka ada pasukan yang seimbang dari segenap posisi dan faktor penyokong juga akan beri lebih motivasi kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, bekas pemain pertahanan kebangsaan dari Johor, Azmil Azali optimis JDT mampu memberikan mimpi ngeri buat barisan anak buah Dollah di Kuantan.

Katanya, ini adalah peluang terbaik JDT melebarkan jurang mata sebagai pendahulu sekiranya berjaya mengatasi strategi dan taktikal dirangka Dollah yang berupaya menjadi halangan utama JDT daripada membawa pulang tiga mata.

“Kalau tengok kepada prestasi terkini saya nampak JDT lebih konsisten dan berpeluang memenangi perlawanan ini dan sekiranya menang, JDT akan selesa mendahului dengan kelebihan lima mata tetapi ia bukan mudah untuk bermain di bumi Pahang lagi-lagi berdepan kecerdikan Dollah.

“Namun, saya yakin JDT ada perancangan mereka tersendiri dan setiap pemain tahu betapa pentingnya aksi itu kepada pasukan. Gandingan Gonzalo (Cabrera) dan Safawi Rasid boleh menjadi duri dalam daging buat Pahang tetapi JDT juga perlu merantai Dickson (Nwakaeme),” tegas beliau.

Dalam pada itu, Dollah mengesahkan perancang Muhammad Nor Azam Abdul Aziz tidak dapat diturunkan Ahad ini akibat digantung perlawanan selepas mengutip kad merah dalam aksi berdepan Perak minggu lalu.

— BERNAMA

scroll to top