Thursday , 18 October 2018

Home » Nasional » Pembangkang tak perlu tanding – MB

Pembangkang tak perlu tanding – MB

September 18, 2018 7:39 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Pembangkang tak perlu tanding – MB

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun

PORT DICKSON,. Pembangkang tidak perlu meletakkan calon bagi menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, berkata pembangkang perlu memberi laluan agar tiada pertandingan di PRK itu

“Kalau ada pertandingan pun tak ada masalah tetapi lebih mudah kalau tiada pertandingan. Anwar adalah calon perdana menteri dan semua sudah tahu.

“Kita di Negeri Sembilan khususnya Port Dickson mesti bersedia dalam menerima kedatangan orang luar termasuk wartawan. Secara tidak langsung ini satu promosi untuk kita,” katanya ketika melawat mangsa banjir kilat di Kampung Sungai Raya di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Ha Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Mohamad Hapil dam Pegawai Daerah Port Dickson, Khairy Maamor.

Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata, Anwar adalah bakal Perdana Menteri dan pastinya ada limpahan pembangunan di negeri ini khususnya di Port Dickson ini sendiri.

“Port Dickson adalah kawasan pelancongan dan tumpuan pelancong tempatan dan luar negara. Orang Port Dickson beruntung jika mereka membuat pilihan yang tepat memilih bakal Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya RM25 juta yang dibayar kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk meletakkan jawatan, Aminuddin berkata perkara itu tidak berlaku.

“Bukan setakat Port Dickson, tetapi banyak kerusi yang sedia dikosongkan untuk Anwar bertanding. Tidak masuk akal dan itu semua andaian pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Perkara peletakan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar sudah dibincang sejak awal lagi dan semua sudah maklum, tidak timbul soal sebarang bayaran kepada sesiapa pun,” katanya.

scroll to top