Wednesday , 22 August 2018

Home » Ekonomi » Pembangunan ekonomi belia antara agenda utama kerajaan negeri

Pembangunan ekonomi belia antara agenda utama kerajaan negeri

June 13, 2018 2:33 pm Category: Ekonomi, Nasional A+ / A-
Pembangunan ekonomi belia antara agenda utama kerajaan negeri

Aminuddin Harun

SEREMBAN,.Pembangunan usahawan belia merupakan antara agenda utama kerajaan negeri bagi memastikan golongan muda dapat bersama-sama membangunkan negeri ini.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata sudah menjadi hasratnya untuk melihat anak muda di negeri ini bersama-sama membangunkan ekonomi baharu dan berupaya menjana peluang pekerjaan pada masa hadapan.

“Antara peluang keusahawanan yang saya lihat dapat diceburi golongan belia ialah industri makanan menggunakan konsep trak makanan.

“Buat masa ini saya sudah minta peniaga trak makanan ini dibenarkan berniaga di mana sahaja di negeri ini, dan tidak terhad hanya pada hari tertentu atau hujung minggu,” katanya kepada Bernama dalam temu bual khas di sini.

Beliau berkata kaedah ini secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai golongan usahawan muda untuk menyertai bidang ini yang disokong sepenuhnya oleh kerajaan.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan golongan belia supaya menjalankan perniagaan serta keusahawan memandangkan industri seperti trak makanan ini merupakan pemangkin kepada belia untuk terus berkembang.

“Diharapkan pada satu masa nanti, industri ini mampu menjana peluang pekerjaan untuk rakan-rakan yang lain,” katanya, sambil menambah kerajaan negeri juga sedang membincangkan beberapa perkara bagi membantu usahawan trak makanan ini berkembang.

Aminuddin juga berkata usaha juga sedang dijalankan bagi membantu golongan muda menyertai bidang pertanian.

“Saya akan berbincang dengan exco pertanian bagi mengenal pasti kaedah untuk membantu usahawan muda tani yang diketahui tidak punya modal besar.

“Mungkin mereka ada tanah (tetapi tiada modal), jadi saya bercadang memulakan usaha ini dengan membajak tanah rakyat bagi membolehkan projek pertanian dilaksanakan, ” katanya.

Aminuddin berkata beliau juga akan meminta Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membantu usahawan belia tani memasarkan hasil produk mereka.

“Saya akan bincangkan dengan exco yang ada dan Jabatan Pertanian bersama Jabatan Belia cara untuk menggembleng usaha bagi memastikan projek usahawan tani ini dapat dilaksanakan segera,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top