Thursday , 27 June 2019

Home » Nasional » Pembangunan luar bandar keutamaan Sabah

Pembangunan luar bandar keutamaan Sabah

January 13, 2019 8:20 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Pembangunan luar bandar keutamaan Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. .Kawasan luar bandar itu tidak berubah kerana tiada pembangunan sejak 50 tahun lalu.

PENSIANGAN,. Kerajaan baharu Sabah yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) akan terus melakukan perubahan dengan membawa pembangunan ke seluruh kawasan luar bandar secara berperingkat di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perancangan pembangunan yang komprehensif perlu diambil bagi memastikan semua rakyat menikmati pembangunan yang sama rata di negeri ini.

Beliau berkata banyak lagi kawasan luar bandar di negeri itu tidak berubah kerana tiada pembangunan sejak 50 tahun lalu.

“Tiada sebab kita tidak boleh bangunkan kawasan luar bandar di Sabah sekiranya kita ada perancangan komprehensif dan rakyat terus bersama-sama menyokong kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Ilau Panawari 2019, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata kerajaan perlu melakukan banyak penelitian untuk membangunkan sesebuah kawasan luar bandar di Sabah bagi memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.

Pada majlis itu, Mohd Shafie, yang juga Menteri Kewangan negeri, mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk menaik taraf Tamu Sinsingon, Sapulut.

Katanya, RM300,000 daripada peruntukan berkenaan adalah daripada kementeriannya dan RM200,000 lagi daripada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco).

Selain itu, beliau juga meluluskan peruntukan RM50,000 untuk membaiki pam air di Sekolah Menengah Kebangsaan Sapulut.

Sementara itu, mengulas mengenai pesta Ilau Panawari, ketua menteri itu berkata perayaan itu perlu disambut setiap tahun sama seperti pesta yang disambut oleh kaum lain di negeri ini.

“Penting bagi kita adakan pesta kaum seperti ini setiap tahun sebagai tanda hormat kepada pelbagai kaum di Sabah yang mempunyai budaya dan sejarah tersendiri.

“Saya difahamkan pesta ini bertujuan menyatukan kaum Murut yang ada di Sabah. Oleh itu kita perlu pelihara perayaan ini dengan baik..kita mahukan semua perayaan kaum di Sabah diraikan kerana adunan seperti ini penting untuk kita bersatu membangunkan negeri ini,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top