Wednesday , 17 July 2019

Home » Bisnes » Pemegang saham utama FGV mahu Lembaga Pengarah serius laksana pelan tranformasi – MPNF

Pemegang saham utama FGV mahu Lembaga Pengarah serius laksana pelan tranformasi – MPNF

June 27, 2019 7:23 am Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
Pemegang saham utama FGV mahu Lembaga Pengarah serius laksana pelan tranformasi – MPNF

KUALA LUMPUR,. Keputusan resolusi Mesyuarat Agung Tahunan FGV Holdings Bhd semalam merupakan isyarat jelas pemegang saham utama mahukan Lembaga Pengarah lebih serius melaksanakan pelan tranformasi, kata Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF).

Pengerusi MPNF Datuk Mazlan Aliman berkata setiap Ahli Lembaga Pengarah hendaklah terus mempertingkatkan usaha supaya pemegang saham dapat menerima dividen yang baik.

Katanya mereka juga perlu menaikkan kembali harga saham sekurang-kurangnya di peringkat diapungkan dahulu iaitu RM4.55 pada tahun 2012, yang ketika itu menjadi tawaran awam permulaan yang kedua terbesar di dunia selepas Facebook.

Mazlan menjelaskan pemegang saham tidak berpuas hati dengan prestasi kewangan FGV sejak mula diapungkan di Bursa Malaysia yang sekarang didagangkan pada RM1.15.

“Dalam keadaan syarikat berada dalam kerugian, Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan mesti berkorban demi memartabatkan semula FGV.

“Jika mereka tidak dapat mengambil cabaran ini, mereka kenalah memberi peluang kepada muka-muka baharu untuk mengambil alih pengurusan FGV,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Semalam, tiga pemegang saham utamanya, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Koperasi Permodalan Felda dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera bertindak menolak resolusi membabitkan bayaran yuran dan manfaat kepada pengarah syarikat tersebut.

Mazlan berkata imbuhan yang dicadangkan sebanyak RM1.95 juta kepada Pengerusi atau sejumlah RM5.74 juta kepada Ahli Lembaga Pengarah relatifnya tinggi bagi syarikat yang mengalami kerugian besar hampir RM1 bilion tahun lepas.

Beliau berkata seluruh komuniti Felda menghargai sumbangan dan inisiatif yang diberikan oleh Ahli Lembaga Pengarah selama tempoh satu setengah tahun lepas.

Bagaimanapun, Lembaga Pengarah harus memahami pengorbanan peneroka, generasi kedua serta kakitangan kumpulan Felda yang berkorban tenaga, keluarga dan wang demi menzahirkan FGV yang ada sekarang.

— BERNAMA

scroll to top