Saturday , 15 December 2018

Home » Artikel Pilihan » Pemilihan PKR: 2 lelaki ditahan SPRM

Pemilihan PKR: 2 lelaki ditahan SPRM

September 16, 2018 2:51 pm Category: Artikel Pilihan, Politik A+ / A-
Pemilihan PKR: 2 lelaki ditahan SPRM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki kerana disyaki terbabit dalam politik wang bagi pemilihan pemimpin cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kedah, semalam.

Sumber memberitahu, suspek pertama berusia 48 tahun ditahan pada 12.20 tengah hari di sebuah restoran di Alor Setar, manakala suspek kedua berusia 46 tahun ditahan pada 3.25 petang di Plaza Tol Pendang Lebuhraya Utara-Selatan.

Katanya, kedua-dua suspek dikatakan meminta wang suapan berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan agar namanya yang sudah didaftarkan untuk pemilihan parti dikekalkan di dalam sistem, sekali gus layak untuk bertanding.

Sumber berkata, suspek terbabit sebelum itu memaklumkan kepada lelaki terbabit bahawa namanya dan beberapa individu lain akan digugurkan daripada senarai nama calon namun boleh dikekalkan jika membayar suapan berkenaan.

Katanya, susulan penahanan itu, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM10,000 daripada kedua-dua suspek.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, ketika dihubungi, mengesahkan mengenai penahanan itu.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini bagi tujuan permohonan reman.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya. – Kredit Bharian

scroll to top