Thursday , 18 October 2018

Home » Nasional » Pemilihan PKR Kedah batal

Pemilihan PKR Kedah batal

September 23, 2018 8:39 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Pemilihan PKR Kedah batal

SEBERANG JAYA,. Keputusan rasmi pemilihan PKR di Kedah dibatalkan selepas hanya enam daripada 15 cabang di negeri itu dapat menjalankan proses pengundian.

Pada masa sama, keputusan pemilihan bagi 13 cabang di Pulau Pinang akan dimuat naik ke laman web rasmi parti.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Ismail Yusop, berkata pemilihan bagi Perak dan Perlis yang dijadualkan hari ini turut ditangguhkan.

Beliau berkata, pengundian semalam adalah pertama kali dilakukan menggunakan e-undian dan selepas meneliti laporan serta pandangan semua pihak termasuk pimpinan kanan dan calon bertanding, semua proses pengundian di Kedah dibatalkan.

“Hanya satu pertiga daripada cabang di Kedah dapat menjalankan proses pengundian

“Di Pulau Pinang, semua cabang dapat menjalankan proses pengundian dan keputusannya boleh digunakan sehingga ada bantahan bertulis daripada ahli dan menerusi mesyuarat khas yang dijalankan membincangkan mengenainya,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

Beliau berkata, pemilihan parti bagi Perlis, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah akan ditentukan selepas hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Kekecohan turut tercetus pada sidang media itu apabila berlaku pergaduhan antara dua kumpulan hingga menyebabkan seorang ahli PKR cedera kerana tidak berpuas hati dengan keputusan JPP mengekalkan keputusan pemilihan di Pulau Pinang.

Lebih 100 ahli PKR yang hadir pada sidang media itu menjerit supaya keputusan pemilihan di Pulau Pinang dibatalkan selepas berlaku masalah dalam proses pemilihan di beberapa pusat di negeri ini.

Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Dr Afif Bahardin, dalam sidang media berasingan, mahu JPP dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, bertanggungjawab terhadap masalah yang timbul di pusat pemilihan Kedah dan Pulau Pinang.

“Saya mewakili suara akar umbi parti ingin menggesa Saifuddin bertanggungjawab sepenuhnya pada pemilihan hari ini (semalam).

“Daftar nama pemilih ahli tidak dikemas kini dan tidak berkesan,” katanya.

Beliau mengajak semua ahli menuntut penjelasan supaya e-undian disemak semula kerana tidak berkesan dan dikhuatiri meragukan susulan keputusan pemilihan di Pulau Pinang.

scroll to top