Wednesday , 12 December 2018

Home » Nasional » Peminjam PTPTN tidak jujur punca tunggakan hutang RM36 bilion tidak berbayar

Peminjam PTPTN tidak jujur punca tunggakan hutang RM36 bilion tidak berbayar

September 20, 2018 2:29 pm Category: Nasional A+ / A-
Peminjam PTPTN tidak jujur punca tunggakan hutang RM36 bilion tidak berbayar

KUALA LUMPUR,. Tun Dr Mahathir Mohamad membidas sikap tidak jujur peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang enggan membayar hutang sehingga menyebabkan hutang tekumpul yang tidak dibayar adalah sebanyak RM36 bilion.

Perdana Menteri berkata beliau berasa malu dengan sikap seumpama itu kerana peminjam berkenaan tidak langsung mempunyai rasa bertanggungjawab apabila mereka diamanahkan dengan sesuatu.

“Di Malaysia kadang-kadang terdapat manusia yang sangat tidak jujur. Sebagai contoh, untuk memberikan peluang pendidikan kepada rakyat kita memberi mereka biasiswa, kita mengeluarkan wang untuk membiayai pelajaran mereka supaya mereka kelak akan memperoleh pendapatan yang lebih baik dan dapat meningkatkan taraf hidup.

“Sebaik sahaja mereka diterima belajar di universiti, baik di dalam dalam mahupun di luar negara, kita akan memberi mereka biasiswa, pinjaman sebenarnya, tetapi malangnya apabila mereka sudah kembali (ke tanah air) mereka enggan membayar semula hutang tersebut.

“Kita mempunyai sebanyak RM36 bilion hutang terkumpul yang tidak dibayar kepada PTPTN. Saya berasa sangat malu tetapi mereka sebaliknya tidak. Mereka ada pendapatan dan mampu membayar hutang, cuma mereka sengaja enggan membayarnya,” katanya pada majlis syarahan utama di Residensi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Dr Mahathir turut menggesa peminjam PTPTN yang mampu membayar balik hutang agar lebih bertanggungjawab dan menjelaskan hutang mereka walaupun jika berpendapatan rendah sekalipun.

Beliau berkata mereka yang memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM2,000 boleh mengasingkan sebanyak kira-kira RM100 sebulan untuk membayar balik hutang pinjaman.

Dalam syarahannya, Dr Mahathir juga menjelaskan tentang cadangan beliau agar universiti-universiti di Jepun menubuhkan kampus cawangan mereka di Malaysia dan mengenai pentingnya mempelajari nilai-nilai masyarakat Jepun.

Kata beliau, Malaysia adalah lokasi terbaik bagi maksud tersebut kerana ia akan melibatkan kos yang lebih rendah berbanding di Jepun.

“Saya mencadangkan perkara itu kerana di Jepun pada masa ini semuanya mahal tetapi sekirannya anda mempunyai cawangan universiti Jepun di sini, anda boleh menawarkan sistem pendidikan Jepun dan pada masa yang sama memahami budaya dan sistem nilai orang Jepun, dan kos sara hidup akan menjadi lebih rendah, jadi lebih ramai orang akan mendapat manfaat daripadanya.

“Selain itu, pelajar dari negara-negara miskin dan pelajar miskin juga boleh datang ke Malaysia untuk belajar di institusi pendidikan Jepun tersebut,” tambah beliau.

Dr Mahathir turut melahirkan keyakinan beliau bahawa Malaysia juga boleh mencapai kejayaan seperti Jepun jika rakyatnya memiliki nilai-nilai yang sama seperti yang terdapat dalam siatem nilai masyarakat Jepun, seperti memiliki perasaan malu jika gagal mencapai kecemerlangan, di samping nilai-nilai positif seperti beramanah dan rajin bekerja.

— BERNAMA

scroll to top