Thursday , 15 November 2018

Home » Nasional » Pemuda UMNO perlu berubah untuk kekal relevan

Pemuda UMNO perlu berubah untuk kekal relevan

June 19, 2018 12:07 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Pemuda UMNO perlu berubah untuk kekal relevan

KUANTAN,. Perubahan secara menyeluruh perlu dilakukan pimpinan dan ahli UMNO terutama Pemuda bagi memastikan kesinambungan penubuhannya dapat dipertahankan dan kekal relevan.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Shahar Abdullah, berkata terdapat program dilakukan sebelum ini akan diteruskan dengan penambahbaikan, selain memperbanyakkan lagi pendekatan turun padang bertemu pengundi.

“Sejak tahun 2015, Pemuda UMNO Pahang sudah melakukan pelbagai program dalam usaha mendekati rakyat. Peranan pimpinan Pemuda UMNO sebagai contoh, secara berterusan melaksanakan banyak program (turun padang) yang tidak dilakukan sebelum ini.

“Kita tidak lagi boleh berada dalam zon selesa kerana UMNO sudah kehilangan kuasa yang dimiliki sejak kira-kira 60 tahun lalu.

“Jadi, cabaran terbesar Pemuda UMNO ketika ini ialah kembali memenangi hati rakyat dan tumpuan khusus perlu diberikan kepada golongan muda yang tidak lagi berminat dengan suasana politik semasa,” katanya berucap pada Majlis Hari Raya dan Pengenalan Calon EXCO Pemuda UMNO Malaysia di Wisma Belia, di sini, malam tadi.

Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, Pemuda UMNO Pahang turut mencalonkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Temerloh, Azril Rizal Sarit dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim untuk bertanding jawatan EXCO pergerakan itu.

Beliau turut meminta semua ahli dan pimpinan Pemuda UMNO negeri belajar menerima kenyataan dan tidak menyalahkan orang lain atas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kekalahan pada PRU-14 bukan sebab kita tidak buat kerja, tetapi disebabkan rakyat (pengundi) terutamanya generasi muda tidak lagi mempunyai keyakinan dan mungkin sudah meluat dengan kesilapan yang kita buat sebelum ini.

“Jadi, kita jangan salahkan sesiapa, sebaliknya bermuhasabah diri, cari kelemahan dan kesilapan kita untuk diperbaiki serta luangkan lebih banyak masa mendengar aspirasi golongan muda.

“Kita akan teruskan perjuangan membela nasib generasi muda supaya mereka dapat memiliki kediaman sendiri, peluang pekerjaan bersesuaian dan kos sara hidup lebih rasional. Kita akan terus menyuarakan semua perkara ini dan Pemuda UMNO sudah bersedia menjadi pasukan pembangkang yang kuat bagi menegur kerajaan hari ini,” katanya.

scroll to top