Friday , 15 December 2017

Home » Nasional » Pemuda, Wanita Tentukan Kelangsungan PBS – Ongkili

Pemuda, Wanita Tentukan Kelangsungan PBS – Ongkili

November 17, 2017 5:34 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Pemuda, Wanita Tentukan Kelangsungan PBS – Ongkili

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili

KOTA KINABALU, 17 Nov Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata pergerakan Pemuda dan Wanita parti itu merupakan tunjang yang menjadi penggerak utama dalam menentukan kelangsungan parti berkenaan.

Ongkili, yang kini menjalankan tugas-tugas presiden parti berkenaan, berkata PBS mudah pincang tanpa adanya kesatuan dalam kedua-dua sayap itu.

“Kekuatan sesebuah parti adalah kesatuan dalam kalangan semua anggota dan yang paling penting adalah kesatuan daripada Pemuda dan Wanita. Tanpa kedua-dua sayap (Pemuda dan Wanita) berkenaan, PBS umpama burung yang tidak boleh terbang.

“Kedua-dua sayap ini sangat penting untuk menentukan kestabilan PBS, sekali gus memastikan PBS terus relevan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS sempena Kongres PBS Ke-32 di sini, hari ini.

Ongkili berkata untuk memastikan PBS terus melangkah ke hadapan, kedua-dua sayap parti itu perlu sentiasa membantu untuk memikirkan cara bagi memastikan PBS terus relevan dalam arus pembangunan yang agresif pada masa kini.

“Semua anggota parti perlu memainkan peranan yang lebih agresif untuk menarik minat golongan muda menyertai perjuangan PBS. Kita memerlukan nafas baru untuk meneruskan pucuk pimpinan PBS.

“Oleh itu, kita perlu lebih aktif untuk turun padang dan bertemu dengan golongan muda. Rekrutlah muda-mudi terutama sekali mereka yang sanggup berjuang bersama-sama PBS dalam memperjuangkan hak-hak Sabah, selain memperkuatkan sayap Pemuda dan Wanita dengan barisan kepimpinan yang komited serta dinamik,” katanya.

Pada masa sama, Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata untuk menghadapi pilihan raya akan datang, semua anggota parti di semua bahagian perlu membantu calon Barisan Nasionan (BN) yang bertanding di kawasan berkenaan.

“Kejayaan kita selama ini adalah berkat kerjasama rakan-rakan kita dari parti komponen BN yang turut membantu merealisasikan impian dan perjuangan kita. Oleh itu, kita perlu bekerjasama dengan parti-parti komponen untuk memastikan semua kerusi yang ditandingi PBS menang,” katanya.

Beliau juga mengingatkan semua bahagian dan cawangan PBS supaya memperkukuh parti dengan memastikan kawasan masing-masing teratur selain jentera parti sentiasa aktif dan mampu menangkis cabaran.

“Yang paling penting, janganlah ada anggota parti yang terikut-ikut atau terpikat dengan pembangkang. Kita hanya perlu tumpukan usaha untuk terus memperkuat PBS, yang merupakan parti tempatan tertua di Sabah,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top