Saturday , 19 January 2019

Home » Dunia » Penculik minta RM42 juta bebas isteri jutawan

Penculik minta RM42 juta bebas isteri jutawan

January 10, 2019 11:56 am Category: Dunia A+ / A-
Penculik minta RM42 juta bebas isteri jutawan

Tommy Broske pada sidang media di Oslo.

OSLO,. Isteri jutawan harta tanah dan sektor tenaga Norway disahkan diculik, selepas dilaporkan hilang dari kediamannya di Lorenskog, kira-kira 20 kilometer dari sini, kira-kira 10 minggu lalu.

Menurut jurucakap polis, Tommy Broske, Anne-Elisabeth Falkevik, 68, yang berkahwin dengan jutawan harta tanah dan pemilik syarikat tenaga, Tom Hagen, 68, dilaporkan hilang pada 31 Oktober lalu.

“Penculik sudah membuat tuntutan tebusan dan pihak polis sedang menyiasat beberapa teori berhubung kehilangan beliau yang dipercayai diculik individu tidak dikenali di kediamannya d Lorenskog.

“Setakat ini, pihak polis masih belum menerima maklumat mengenai keadaan mangsa, termasuk sama ada beliau masih hidup atau sebaliknya,” kata Broske pada satu sidang media di sini.

Akhbar Verdens Gang melaporkan, penculik dikatakan mengancam untuk menggunakan kekerasan ke atas Falkevik, jika keluarganya enggan memenuhi tuntutan mereka.

Penculik dilaporkan meminta tebusan sebanyak 9 juta euro (RM42.35 juta) dalam bentuk mata wang kripto untuk pembebasannya.

Akhbar Aftenposten dalam laporannya pula berkata, terdapat komunikasi yang terhad dengan kesemua penculik.

Insiden penculikan amat jarang berlaku di negara Scandinavia yang kaya itu, yang sering mencatatkan kadar jenayah yang rendah.

Menurut majalah Kapital, suami mangsa, Hagen, adalah lelaki ke-172 terkaya di Norway dan dianggar memiliki kekayaan sebanyak 174 juta euro (RM818.7 juta).

Media tempatan Norway melaporkan, beliau menguasai 70 peratus saham syarikat elektrik, Elkraft yang diasaskannya pada 1992. – AFP

scroll to top