Friday , 14 December 2018

Home » Nasional » Pendekatan Zahid perlahan, Pemuda minta jangan keruhkan keadaan

Pendekatan Zahid perlahan, Pemuda minta jangan keruhkan keadaan

July 20, 2018 8:02 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Pendekatan Zahid perlahan, Pemuda minta jangan keruhkan keadaan

Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR,. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didesak menjelaskan hala tuju yang mahu dibawa selaku Presiden UMNO, kerana ramai dalam kalangan ahli kini terumbang ambing dan kebingungan parti itu hilang kedudukan sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Ketua UMNO bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mendakwa pendekatan Zahid yang terlalu perlahan, serta membisu dalam menjelaskan hala tuju parti, hanya menyebabkan beliau dilihat sebagai tidak berkemampuan untuk membawa perubahan dan memenuhi tuntutan “UMNO Bangkit.”

Beliau berkata, Ahmad Zahid perlu mengemukakan tawaran baharu kepada ahli UMNO dan Rakyat.

“Beliau patut bingkas dan pantas mengemukakan tawaran baharu dan hala tuju parti selepas dipilih sebagai Presiden.

“Ini kerana UMNO kini perlu bermula daripada kosong iaitu parti yang tidak ada kuasa sebagaimana ketika bermula tanpa kuasa pada 1946,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Puad yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, mendakwa kini timbul kritikan terhadap Ahmad Zahid yang disifatkan terikat dengan budaya lama dalam mengurus parti yang antara lain dilihat menerusi ketiadaan perundingan seperti dalam perlantikan pengerusi perhubungan.

Katanya, walaupun itu prerogatif atau pilihan Zahid, tetapi beliau sepatutnya mengukuhkan amalan rundingan dalam UMNO kerana ia membantu menyatupadukan parti.

“Zahid sepatutnya ada kesungguhan politik untuk menghapuskan amalan hulubalang (warlord) atau cai dalam parti. Amalan ini menjadi punca walaupun UMNO mempunyai sistem terbaik tetapi ia tetap disalah guna warlord ini.

“Mengambil contoh UMNO yang mempunyai sistem paling demokratik dalam memilih pemimpin apabila seramai 146,000 ahli diberi hak memilih pemimpin, tetapi kerana wujudnya warlord, maka mereka yang ada dalam senarai itu sahaja, berpeluang untuk menang,” katanya.

Beliau berkata, sepatutnya Ahmad Zahid menghentikan amalan politik akomodatif untuk penyokongnya sahaja, iaitu memilih dan melantik seseorang kerana orang itu adalah penyokong setianya tetapi bukan kerana merit, pelaksanaan dan komitmen.

“Sebab itu ada yang merasakan beberapa nama yang sepatutnya tiada lagi dalam pentadbiran UMNO tetapi masih dikekalkan tetapi diberi jawatan lain, malah imej barisan Majlis Tertinggi UMNO dilihat tidak menjamin perubahan yang diharapkan,” katanya.

Beliau berkata, apabila UMNO di bawah kepimpinan baharu, Ahmad Zahid perlu ada pendirian jelas dalam isu tertentu, termasuk Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), yang diperkatakan sekarang kerana tanpanya ia hanya akan merenggangkan hubungan UMNO dengan badan bukan kerajaan (NGO) terbabit dalam kebudayaan, bahasa dan cendikiawan lain.

“UMNO perlu konsisten mempertahankan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan. UMNO tidak patut takut dilabel sebagai parti perkauman atau rasis. Agenda Melayu yang diperjuangkan UMNO adalah inklusif.

“Ia bertujuan menyamaratakan padang permainan. UMNO tidak rasis. Yang rasis adalah DAP,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohd Shahar Abdullah meminta Mohd Puad menjadi seorang ahli berjiwa yang besar dan percaya dengan usaha yang sedang dibuat untuk mengembalikan semangat parti sekali gus tidak mengeruhkan keadaan dan mewujudkan situasi tidak selesa dalam UMNO.

“Sebagai ahli UMNO, saya menghormati pertanyaan Datuk (Mohd) Puad Zarkashi kepada Presiden UMNO mengenai hala tuju parti kerana beliau sememangnya berhak untuk mengetahuinya

“Datuk Puad perlu sedar bahawa untuk memimpin parti yang pertama kali pertama duduk di kerusi pembangkang setelah 61 tahun berkhidmat sebagai parti memerintah, bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan iltizam tinggi malah cara kita tidak boleh lagi sama seperti dahulu.

“Beri peluang kepada Datuk Seri Ahmad Zahid yang baru sahaja 19 hari mengemudi parti untuk menggunakan caranya tersendiri dalam menghadapi pelbagai isu yang sedang melanda UMNO kini.

“Dengan akaun parti yang masih dibekukan oleh SPRM, Presiden dan penjawat parti juga terpaksa mengikhtiarkan kos lain untuk menggerakkan rancangan serta manifesto parti,” katanya.

Mohd Shahar berkata, beliau percaya Ahmad Zahid tidak pernah lari dari asas politik UMNO, cuma keadaannya sekarang memerlukan pendekatan yang berlainan dan inklusif.

“Jadi, bersama-samalah kita mentadbir segala hal-ehwal parti secara lebih bersopan, bukan dengan cara mewar-warkan ketidakpuasan hati kerana rakyat sedang menilai setiap gerak geri kita.

“Janganlah ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’,” katanya.

scroll to top