Monday , 18 December 2017

Home » Artikel Pilihan » penentu hayat politik Dr M, Kit Siang PRU-14

penentu hayat politik Dr M, Kit Siang PRU-14

October 13, 2017 10:36 am Category: Artikel Pilihan, Nasional, Politik A+ / A-
penentu hayat politik Dr M, Kit Siang PRU-14

Tun Dr Mahathir dan Lim Kit Siang.

DARIPADA lawan kepada kawan, sesuai dikaitkan kepada Tun Dr Mahathir dan Lim Kit Siang. Mereka pernah berseteru tetapi kini akrab. Berdekad bermusuh, namun segalanya berubah demi matlamat politik.

Dr Mahathir pernah melabel Kit Siang dan DAP rasis, namun kini Pengerusi PPBM itu menganggap DAP mewakili semua kaum, malah persepsinya terhadap parti itu selama ini salah.

Kit Siang pernah melabel Dr Mahathir diktator. Kit Siang yang pernah jadi ketua pembangkang ketika Dr Mahathir Perdana Menteri lantang mengkritik, termasuk projek mega seperti PROTON, pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan dan pernah ditahan di bawah Ops Lalang pada 1987, kini juga berubah nada atas nama kononnya ingin menyelamatkan Malaysia.

Mereka kini bekerjasama menjatuhkan kerajaan diterajui UMNO dan Barisan Nasional (BN). Dr Mahathir pernah ingatkan orang Melayu jangan jadi bangsa mudah lupa seperti sajak beliau bertajuk Melayu Mudah Lupa. Ironinya, beliau kini menentang UMNO dan bekerjasama dengan DAP. Pada Perhimpunan Agung UMNO terakhir sebagai Presiden UMNO pada 2003, Dr Mahathir menyatakan: “UMNO sebagai satu kumpulan yang penting, jika rosak, akan membawa padah kepada bangsa Melayu, bangsa Malaysia, kepada agama Islam dan kepada Malaysia.”

Tetapi, tindakannya kini tidak mencerminkan seperti apa yang beliau katakan sedekad lalu. Kini, beliau menentang parti yang pernah diterajui selama 22 tahun. Beliau juga berkata tidak akan kembali kepada UMNO. Adakah Dr Mahathir Melayu mudah lupa seperti dalam sajak beliau?

Pusingan U Dr Mahathir yang dahulunya dilihat anti-DAP tetapi kini boleh terima perjuangan parti itu amat pelik. Dr Mahathir memberi alasan, dulu beliau selalu kritik DAP kerana strategi politik. Ia mungkin bermaksud matlamat menghalalkan cara. Ia juga menunjukkan Dr Mahathir sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan peribadi.

Baru-baru ini, pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin menuduh Dr Mahathir membayar RM1 billion kepada Kit Siang untuk dapat jawatan Pengerusi Pakatan Harapan (PH). Walaupun belum dibuktikan, apa yang dinyatakan Raja Petra menunjukkan betapa Dr Mahathir betul-betul berharap menerajui PH kerana ingin menjatuhkan kerajaan Datuk Seri Najib Razak.

Dukung perjuangan DAP

Lawatan Dr Mahathir ke ibu pejabat DAP memperlihat kesungguhan beliau membuktikan bahawa beliau bukan musuh, tetapi mendukung perjuangan DAP. Dr Mahathir dilihat menggadai prinsip demi agenda politik, selain tidak menyatakan sama ada bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) beliau dilihat cenderung bertanding di Putrajaya.

Kit Siang pula bersedia tinggalkan Gelang Patah dan bertanding di negeri lain. Pada usia emas, mereka seharusnya berundur dan memberi peluang kepada generasi muda bertanding PRU-14.

Sejauh mana kerjasama

Namun, amat menarik melihat sejauh mana kerjasama mereka. Adakah untuk PRU-14 dan kemesraan berterusan pasca PRU-14? Dilihat mereka bergabung hanya untuk menjatuhkan Najib. Impak kepada pembangkang jika mereka kalah pada PRU-14 sangat signifikan. Tentu mereka akan bersara terus, PH berpecah dan ahli membawa haluan masing-masing.

Jika PH berjaya membentuk kerajaan dengan DAP sebagai parti mendominasi, tentu Kit Siang berhasrat memegang jawatan, sekurang-kurangnya menteri kanan, setelah berpolitik berdekad lamanya. Dr Mahathir pula mungkin agak janggal berada semula dalam kerajaan kerana faktor usia.

Adakah Malaysia akan ikut acuan ‘Malaysian Malaysia’ jika PH menang PRU-14 dan Dr Mahathir menurut kehendak DAP? Masa akan menentukan.

Penulis adalah penganalisa politik

scroll to top