Saturday , 19 January 2019

Home » Nasional » Pengerusi BERSATU Perlis sedia berundur

Pengerusi BERSATU Perlis sedia berundur

January 10, 2019 12:51 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Pengerusi BERSATU Perlis sedia berundur

Pengerusi BERSATU Perlis, Ameir Hassan.

KANGAR,. Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perlis, Ameir Hassan sedia berundur dan menerima keputusan dibuat pucuk pimpinan BERSATU berhubung kemelut yang melanda parti di negeri itu.

Ameir bagaimanapun, mempertahankan keputusannya menggugurkan Wan Saiful Wan Jan daripada jawatan Setiausaha BERSATU Perlis berikutan kesibukan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu.

“Jika ditakdirkan saya digugurkan dari menerajui kepemimpinan BERSATU di Perlis oleh pimpinan di peringkat Pusat, saya reda dan menerima segala keputusan yang dibuat oleh mereka.

“Namun, segala langkah atau keputusan yang dibuat saya dan pimpinan parti di Perlis adalah untuk kebaikan semua,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Kemelut kepimpinan BERSATU Perlis bermula apabila Ameir pada Selasa lalu, mengumumkan menggugurkan Wan Saiful daripada jawatan Setiausaha BERSATU negeri, namun Wan Saiful mendakwa ia dibuat susulan tindakannya membuat laporan polis berhubung salah guna kuasa parti itu.

Mengulas lanjut, Ameir berkata, beliau tidak peduli dengan tohmahan yang cuba dilempar beberapa pihak yang mendakwanya sebagai gila kuasa.

“Ingin saya jelaskan di sini, saya termasuk pimpinan BERSATU di negeri ini tidak pernah memecat Wan Saiful, tetapi kami hanya menggugurkan dia sahaja kerana didapati cuba memecah belahkan parti ini.

“Mereka hendak kata apa pun katalah… katalah apa jua nista terhadap saya sekalipun saya tidak peduli kerana jika saya perlu berundur, saya tinggalkan parti dalam keadaan terbaik serta diterajui pimpinan yang mampu membuat kerja,” katanya.

Semalam Timbalan Pengerusi BERSATU Perlis, Izizam Ibrahim, turut mendesak Ameir meletak jawatan dan mendakwa perpecahan dalam parti itu berpunca daripada beliau.

scroll to top