Wednesday , 27 March 2019

Home » Dunia » Penggodam Jerman bocor maklumat kerana ‘sakit hati’

Penggodam Jerman bocor maklumat kerana ‘sakit hati’

January 9, 2019 1:32 pm Category: Dunia, Teknologi A+ / A-
Penggodam Jerman bocor maklumat kerana ‘sakit hati’

Gambar Hiasan

BERLIN,. Pihak berkuasa Jerman semalam berkata, seorang penggodam berusia 20 tahun mengaku mencuri dan membocorkan data peribadi ratusan ahli politik termasuk Canselor Angela Merkel, kerana ‘sakit hati’ dengan sesetengah kenyataan umum mereka.

Penggodam itu, yang masih belajar dan tinggal bersama ibu bapanya, ditahan selepas polis menggeledah rumah keluarganya di negeri barat Hesse, Ahad lalu.

Suspek tidak ditahan reman namun bekerja sama penuh serta tidak dianggap berisiko untuk terbang, kata jurucakap pejabat perkhidmatan jenayah internet Frankfurt, ZIT, Georg Ungefuk.

“Tertuduh berkata, dia mendedahkan data kerana jengkel dengan sesetengah kenyataan dibuat pihak yang terjejas,” kata Ungefuk dalam sidang media di Wiesbaden.

Suspek yang tertakluk di bawah undang-undang juvana Jerman memberitahu polis, dia bertindak sendirian. Dia bakal didakwa atas tuduhan mengintip dan menerbitkan data peribadi secara tidak sah.

Ungefuk berkata, tertuduh membuat satu pengakuan ‘komprehensif’ dan menunjukkan ‘penyesalan jelas’ terhadap pelanggaran keselamatan siber mengejutkan yang menjejaskan kira-kira 1,000 ahli politik, wartawan dan selebriti selain memberi tekanan politik terhadap kerajaan.

Maklumat dibocor dalam talian terdiri daripada alamat rumah, nombor telefon bimbit, surat, invois dan salinan dokumen pengenalan. Data itu kali pertama didedahkan menerusi Twitter Disember lalu, namun tersebar pantas minggu lalu. -AFP

scroll to top