Saturday , 25 May 2019

Home » Nasional » Penglibatan Agong dalam sukan diharap pemangkin atlet harumkan negara

Penglibatan Agong dalam sukan diharap pemangkin atlet harumkan negara

April 24, 2019 7:27 am Category: Nasional A+ / A-
Penglibatan Agong dalam sukan diharap pemangkin atlet harumkan negara

KUALA LUMPUR,. Penglibatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah dalam bidang sukan diharap akan menjadi pemangkin kepada atlet kebangsaan untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata penglibatan baginda dalam bidang sukan merupakan seorang yang profesional ketika menjalankan tugas terutama dalam bola sepak dan hoki.

“Sesungguhnya diharapkan penglibatan Tuanku sebelum ini dalam bidang sukan akan terus menjadi pemangkin kepada semua atlet negara untuk terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2018 malam ini.

Beliau berkata sepanjang penglibatan Yang di-Pertuan Agong dalam sukan hoki pelbagai kejayaan dicapai skuad remaja dan senior kebangsaan.

“Di pentas antarabangsa pula Tuanku turut disanjung tinggi beberapa pemimpin sukan dunia sehingga dipilih sebagai Exco Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF),” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berharap lebih ramai atlet dan sukan akan layak untuk bertanding di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

“Beberapa sukan yang terlibat dalam proses kelayakan ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan mengharungi jadual padat.

“Selain dua atlet daripada sukan pelayaran yang telah layak, saya amat berharap lebih ramai atlet dan sukan yang akan layak untuk bertanding di temasya tertinggi dunia itu pada 2020 dan harapan untuk melihat pingat emas pertama akan berjaya dicapai pada tahun hadapan,” katanya.

Syed Saddiq turut memberi jaminan bahawa Kementerian Belia dan Sukan sentiasa memandang serius kebajikan dan keperluan atlet terutamanya selepas bersara.

Katanya, atlet negara adalah merupakan aset negara yang membawa nama negara di persada antarabangsa.

Beliau berkata keringat ‘Malaysian Heroes’ itu sepatutnya dibalas dengan balasan yang setimpal dengan pengorbanan mereka.

“…yang dinobatkan atau tidak, ketahuilah bahawa Anugerah Sukan Negara adalah anugerah seluruh rakyat Malaysia untuk perjalanan panjang anda. Anugerah Sukan Negara adalah anugerah seluruh rakyat Malaysia bagi meraikan sesiapa sahaja yang membantu anda dalam mengharumkan nama negara.

“Terima kasih kerana mengangkat martabat Malaysia. Terima kasih atas pengorbanan anda, dalam sebuah perjalanan mengejar kejayaan yang akhirnya dikongsi bersama sebagai sebuah negara,” katanya.

Pada majlis gilang gemilang itu, jaguh tenpin boling negara Muhammad Rafiq Ismail dinobatkan Olahragawan Kebangsaan manakala gimnas Amy Kwan Dict Weng muncul Olahragawati Kebangsaan 2018.

Baginda berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

— BERNAMA

scroll to top