Saturday , 18 August 2018

Home » Nasional » Pengundi Cina DUN Indera Kayangan Akan Kembali Sokong BN

Pengundi Cina DUN Indera Kayangan Akan Kembali Sokong BN

February 12, 2018 2:41 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Pengundi Cina DUN Indera Kayangan Akan Kembali Sokong BN

Khaw Hock Kong

PADANG BESAR,.MCA Perlis yakin pengundi Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan akan kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, sekali gus membantu BN merampas semula kerusi itu.

Naib Pengerusinya Khaw Hock Kong berkata setelah lima tahun kawasan Indera Kayangan diwakili parti pembangkang, para pengundi sudah boleh menilai keberkesanan dan kemampuan wakil rakyat mereka.

“Saya percaya penduduk Indera Kayangan sudah insaf, setiap pembangunan yang dibawa ke kawasan tersebut pun adalah daripada peruntukan kerajaan BN,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pada PRU ke-13, calon MCA Dr Por Choo Chor tewas tipis kepada calon Parti Keadilan Rakyat Chan Ming Khai yang memperoleh kelebihan 1,092 undi.

Dalam pada itu beliau juga tidak menafikan pentingnya sokongan bersama pengundi kaum Melayu dan India untuk membantu kemenangan calon BN di kawasan terbabit.

Khaw yang juga anggota DUN Titi Tinggi yakin misi menawan semula Indera Kayangan akan lebih mudah melalui sokongan yang bakal diberikan oleh rakan-rakan daripada UMNO dan MIC.

— BERNAMA

scroll to top