Sunday , 24 March 2019

Home » Bisnes » Peniaga saham AS tunggu pengumuman kadar faedah

Peniaga saham AS tunggu pengumuman kadar faedah

March 14, 2017 7:53 am Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Peniaga saham AS tunggu pengumuman kadar faedah

BENGALURU: Indeks saham hadapan Amerika Syarikat (AS) dilihat terarah kepada pembukaan lemah di Wall Street apabila pelabur menunggu kenaikan kadar faedah yang hampir pasti dilaksanakan oleh Rizab Persekutuan (Fed).

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), lembaga yang menetapkan dasar bank pusat AS itu dijangka menaikkan kadar faedah 25 mata peratusan kepada 0.75 hingga 1.00 peratus selepas mesyuarat dua hari yang bermula esok.

Perangkaan mengagumkan daripada laporan pekerjaan Jumaat lalu mencerminkan pengukuhan pasaran tenaga kerja AS dan keupayaan ekonominya untuk menyerap kenaikan kadar faedah.

Peniaga meletakkan taruhan 94 peratus yang Pengerusi Fed, Janet Yellen akan mengumumkan kenaikan kadar faedah, Rabu ini.

Pelabur akan memerhati dengan penuh minat kenyataan daripada Yellen untuk mendapatkan petunjuk sama ada bank pusat itu akan lebih agresif menaikkan kadar faedah ketika ekonomi menunjukkan isyarat peningkatan.

“Buat masa sekarang, pasaran kelihatan berada di dalam fasa tunggu dan lihat menjelang keputusan Fed,” kata Andre Bakhos, Pengarah Urusan Janlyn Capital di Bernardsville, New Jersey. Dow e-mini menokok 10 mata, atau 0.05 peratus pada 1330 GMT, dengan 5,538 bertukar tangan.

S&P 500 e-mini meningkat 0.75 mata, atau 0.03 peratus, dengan 101,937 kontrak diniagakan. Nasdaq 100 e-mini susut 0.75 mata, atau 0.01 peratus dengan 6,491 kontrak.

– Reuters

scroll to top