Monday , 10 December 2018

Home » Sukan » Penolong Mourinho tinggalkan United

Penolong Mourinho tinggalkan United

May 13, 2018 11:15 am Category: Sukan A+ / A-
Penolong Mourinho tinggalkan United

Rui Faria

LONDON,. Penolong pengurus Manchester United, Rui Faria akan meninggalkan kelab itu hujung musim ini, umum kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu semalam hanya seminggu selepas Jose Mourinho menyatakan beliau tidak akan memaksanya supaya kekal.

Mourinho berkata dalam laman web United bahawa penolong jurulatih berusia 42 tahun itu, yang bekerja dengannya sejak 2001, kini sudah layak menjadi pengurus.

Faria seorang daripada nama yang dikaitkan untuk memenuhi kekosongan ditinggalkan Arsene Wenger di Arsenal.

“17 tahun… di Leiria, Porto, London, Milan, Madrid, London sekali lagi dan kemudian Manchester,” kata Mourinho.

“Latihan, bermain, berkunjung, belajar, ketawa dan juga beberapa tangisan kegembiraan.

“17 tahun dan budak ini sudah menjadi seorang lelaki. Pelajar pintar yang kini seorang pakar bola sepak, bersedia untuk karier berjaya sebagai pengurus.”

United, yang melengkapkan kempen Liga Perdana menentang Watford malam ini sebelum berdepan Chelsea pada final Piala FA, mengucapkan berjaya terhadapnya selepas dua tahun berkhidmat di kelab itu.

“#MUFC mengumumkan penolong pengurus Rui Faria akan meninggalkan kelab hujung musim ini. Kami mengucapkan selamat berjaya buatnya pada masa depan,” menurut kelab itu dalam akaun Twitter.

Faria, seperti Mourinho, tidak pernah bermain bola sepak di peringkat tinggi, namun menjadi tenaga penting dalam staf kejurulatihan pengendali dari Portugal itu selepas mereka bertemu ketika satu seminar di stadium Barcelona, Nou Camp pada 2000.

Ketika itu, Mourinho menjadi penolong kepada Louis van Gaal di Barcelona namun selepas beliau menjadi pengurus di kelab Portugal, Uniao de Leiria pada 2001, beliau mengambil Faria sebagai jurulatih kecergasan dan kedua-duanya kekal bersama di Porto, Chelsea, Inter Milan serta Real Madrid.

– AFP

scroll to top