Tuesday , 23 July 2019

Home » Bisnes » Penubuhan bank digital perkembangan sihat untuk ekosistem perbankan – MDEC

Penubuhan bank digital perkembangan sihat untuk ekosistem perbankan – MDEC

June 20, 2019 7:00 am Category: Bisnes, Nasional, Teknologi A+ / A-
Penubuhan bank digital perkembangan sihat untuk ekosistem perbankan – MDEC

Ketua Pegawai Eksekutifnya Surina Shukri

CYBERJAYA,. Penubuhan bank digital di Malaysia adalah perkembangan sihat bagi ekosistem perbankan kerana ia menyediakan alternatif kepada pengguna, kata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Surina Shukri berkata bank digital akan menawarkan pengalaman baharu, perkhidmatan yang lebih cepat dan mudah berbanding konsep tradisional.

Beliau berkata idea bank digital akan bergantung kepada sama ada ia adalah bank sedia ada yang menceburi segmen baharu ini iaitu digital, atau pemain baharu yang menawarkan pengalaman digital sepenuhnya tanpa cawangan secara fizikal.

“Sekiranya kita menubuhkannya (bank digital), ia bagus kerana ia akan menjadi satu lagi sumber modal dan alternatif untuk mendapatkannya (modal). Sebagai pengguna, sekarang anda mempunyai pilihan,” katanya.

Surina berkata demikian kepada pemberita pada majlis perjumpaan Alibaba Business School peringkat Asia yang pertama bagi Program eFounders Fellowship dan program Usahawan Internet Alibaba di Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata bank digital kini semakin mendapat sambutan terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat, dan pengalaman perbankan secara maya digunakan terutamanya oleh golongan muda.

Hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata rangka kerja perbankan digital, yang akan dilancarkan menjelang akhir tahun, sudah 50 peratus siap dan lebih 10 pihak termasuk gabungan pemain baharu dan pemain kewangan yang berminat untuk menubuhkan bank digital di Malaysia.

Pengarah Jabatan Pembangunan dan Inovasi Kewangan BNM, Suhaimi Ali dipetik sebagai berkata rangka kerja itu adalah untuk melindungi sistem dan disasarkan kepada segmen yang kurang mendapat perkhidmatan seperti syarikat pemula niaga dan perusahaan mikro.

— BERNAMA

scroll to top