Friday , 20 July 2018

Home » Bisnes » Penumpang kritik Malaysia Airlines kerap batalkan penerbangan

Penumpang kritik Malaysia Airlines kerap batalkan penerbangan

July 12, 2018 6:57 am Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
Penumpang kritik Malaysia Airlines kerap batalkan penerbangan

KUALA LUMPUR,. Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) membatalkan penerbangan jarak dekat baru-baru ini, terutama pada laluan Kuala Lumpur ke Bangkok dan kemudian menggabungkan semua penumpang dalam satu pesawat Airbus A380 beberapa jam kemudian.

Sebuah portal percutian, Loyalty Lobby menerusi topik Whine Wednesday, penulis, Sebastian Powell menyatakan selain menggabungkan semua penumpang dalam satu pesawat yang sama, makanan diberikan tidak mengikut kelas Ekonomi dan Perniagaan, sebaliknya diberikan menu yang sama.

Penulis artikel itu yang juga antara penumpang terbabit dalam penerbangan ke Bangkok, Ahad lalu, turut mendakwa, tiada sebarang pampasan diberikan kepada penumpang terbabit.

“Jelas Malaysia Airlines mempunyai pengurusan yang teruk dan mereka seperti menipu pelanggan dengan menggunakan dasar ‘beroperasi mengikut kehendak’.

“Apa sudah berlaku minggu ini? Malaysia Airlines pada masa ini membatalkan beberapa penerbangan setiap hari di laluan Bangkok dan sebaliknya mereka hanya menggunakan satu pesawat Airbus A380,” katanya.

Powell berkata, pembatalan itu bukan disebabkan kekurangan pesawat atau kakitangan, tetapi disebabkan Malaysia Airlines cuba untuk menjimatkan kos sehinggakan mereka tidak memenuhi kewajipan sepatutnya terhadap penumpang.

“Malaysia Airlines adalah syarikat penerbangan berjadual yang menjual tiket mengikut jadual ditetapkan dan syarikat berpiagam.

“Tindakan membatalkan penerbangan pada hari yang sama dalam tempoh tidak sampai seminggu adalah tidak boleh diterima.

“Sudah jelas bahawa pengurusan syarikat penerbangan itu tahu beberapa hari sebelum mereka hendak membatalkan penerbangan tertentu sepatutnya mereka memberitahu penumpang lebih awal.

“Tetapi tidak, mereka hanya akan memaklumkan kepada penumpang tentang perkara ini pada waktu pagi yang sama dan membuat penangguhan sehingga berjam-jam,” katanya.

Katanya lagi, perkara itu memberi kesan kepada penumpan terutamanya pengguna di laluan ke Bangkok.

Ahad lalu, Malaysia Airlines membatalkan tiga penerbangan dan mengalihkan semua penumpang ke dalam pesawat Airbus A380 untuk penerbangan MH 780.

Penulis mendakwa, dia terpaksa menunggu sehingga tiga jam dan hanya mendapat pesanan penangguhan menerusi kiriman emel pada jam 10 pagi hari yang sama.

scroll to top