Tuesday , 23 July 2019

Home » Bencana » Penunjuk perasaan gesa pemimpin ASEAN haramkan import sampah

Penunjuk perasaan gesa pemimpin ASEAN haramkan import sampah

June 21, 2019 11:09 am Category: Bencana, Dunia A+ / A-
Penunjuk perasaan gesa pemimpin ASEAN haramkan import sampah

Pemimpin ASEAN disambut dengan ‘timbunan sampah’ dan gesaan mengharamkan import plastik dan sisa elektronik. -Foto Agensi

BANGKOK,. Penunjuk perasaan di ibu kota Thailand di sini semalam membuang sisa plastik di hadapan sebuah bangunan kerajaan dan menggesa pemimpin Asia Tenggara mengharamkan import sampah dari negara maju ke rantau itu.

Bantahan itu dibuat sebelum mesyuarat hujung minggu 10 anggota Persatuan Asia Tenggara (ASEAN), dengan banyak negara bergelut menangani kebanjiran sampah berikutan keputusan China menghentikan import sisa kitar semula dari negara luar, tahun lalu.

Negara ASEAN kini menerima lebih suku sisa plastik global, kebanyakannya datang dari negara maju seperti Kanada, Amerika Syarikat (AS), Australia dan Jepun.

Sekumpulan 50 aktivis Thailand, sesetengah memegang sepanduk bertulis ‘Tiada Ruang untuk Sisa’ menyertai jurukempen Greenpeace bagi menggesa menamatkan semua import sampah ke Asia Tenggara.

“Penduduk berkumpul di sini bagi menuntut hak untuk hidup dalam persekitaran mapan di Thailand,” kata wakil Greenpeace Thailand, Tara Buakamsari.

Mereka menggesa negara ASEAN mengharamkan eksport sisa ‘dari segenap pelusuk dunia ke rantau itu.’

Sidang kemuncak ASEAN, yang bermula Sabtu ini dengan mesyuarat menteri luar bagaimanapun tidak meletakkan isu sampah dalam agendanya. -AFP

scroll to top