Sunday , 26 May 2019

Home » Nasional » Perbanyakkan pangkalan data tangani isu keselamatan wanita – TPM

Perbanyakkan pangkalan data tangani isu keselamatan wanita – TPM

May 5, 2019 6:19 am Category: Nasional, Teknologi A+ / A-
Perbanyakkan pangkalan data tangani isu keselamatan wanita – TPM

PUTRAJAYA,. Lebih banyak pangkalan data berkaitan keselamatan wanita diperlukan di negara dan rantau ini bagi menangani isu khusus berkaitan wanita dengan berkesan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata pangkalan data itu boleh diwujudkan daripada input penyelidik dan jaringan dengan masyarakat sivil serta individu dalam usaha mempertingkatkan kesedaran berhubung perkara itu.

“Saya harap lebih banyak usaha dilakukan dalam penyelidikan tempatan dan penyebaran hasil penyelidikan berkaitan keselamatan wanita,” katanya.

Ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa mengenai Keselamatan Wanita dan Cabaran Global di Bangi, dekat sini hari ini, Dr Wan Azizah berkata jumlah penyelidik wanita masih kurang di beberapa negara di dunia, namun tidak di Malaysia.

“Keadaan di Malaysia agak berbeza apabila hampir separuh daripada semua penyelidik adalah wanita,” kata Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dr Wan Azizah menegaskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf Malaysia sebagai pemimpin dunia dalam menggalakkan penyertaan gadis dan wanita dalam bidang sains.

Beliau berkata peratusan penyelidik wanita rakyat Malaysia lebih tinggi berbanding Singapura, Taiwan, Korea Selatan, United Kingdom dan Jepun.

Dr Wan Azizah menegaskan di Malaysia, matlamat kerajaan Pakatan Harapan sangat jelas dalam menjamin keamanan dan keselamatan serta kesaksamaan gender terhadap wanita.

“Lelaki dan wanita mempunyai peluang yang sama dalam semua bidang terutamanya pendidikan dan kerjaya,” katanya.

Beliau berkata semua pihak seharusnya berbincang menjangkaui retorik dan memberi lebih penekanan kepada program yang boleh dilaksanakan bagi mencapai penyelesaian yang praktikal dan efisien, terutamanya dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Menyentuh tentang wanita dan cabaran dalam dunia moden ini, beliau berpendapat wanita hari ini sedang bergerak maju dalam era di mana pembabitan aktif mereka dalam keluarga, masyarakat dan negara turut mendedahkan mereka kepada pelbagai isu keselamatan, risiko serta cabaran.

“Kesemua cabaran ini menuntut mereka untuk terus meningkatkan pengetahuan fizikal, intelektual dan spritual, kesemuanya sama penting, untuk menyediakan wanita kepada persekitaran yang selamat serta terjamin bagi diri sendiri dan golongan yang dijaga serta dibimbing mereka,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top