Friday , 26 April 2019

Home » Nasional » Perbicaraan Najib bersambung hari ini

Perbicaraan Najib bersambung hari ini

April 15, 2019 7:04 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Perbicaraan Najib bersambung hari ini

KUALA LUMPUR,. Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang berhadapan dengan tujuh pertuduhan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, akan bersambung esok dengan pasukan pembelaannya akan menyoal balas saksi pertama.

Pada 3 April Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 15 April sehingga 10 Mei sebagai tarikh bagi menyambung semula perbicaraan Najib, yang merupakan Anggota Parlimen Pekan.

Perbicaraan berprofil tinggi itu akan bersambung dengan peguam Harvinderjit Singh menyoal balas saksi pertama Muhammad Akmaludin Abdullah, 35, penolong pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pada hari pertama perbicaraan, Muhammad Akmaludin memberitahu mahkamah bahawa SRC International Sdn Bhd, mempunyai modal terbitan RM1 juta semasa ia mendaftar dengan SSM pada 7 Jan 2011 dan semakan terhadap pemegang syer juga mendapati semua sejuta syer dipegang oleh Kementerian Kewangan (diperbadankan).

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Beliau yang merupakan Perdana Menteri keenam, didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos dan 10 Feb 2015.

Peguam Negara Tommy Thomas dalam pernyataan pembukaan antara lain berkata pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mendapatkan bagi dirinya suapan RM42 juta.

“Adalah menjadi tugas dan keistimewaan saya untuk memulakan perbicaraan di mahkamah terhadap bekas seorang perdana menteri yang selama hampir sedekad, menduduki jawatan yang paling berkuasa di negara ini dan mempunyai hampir kuasa mutlak.

“Keistimewaan seperti itu memikul tanggungjawab yang besar, yang pejabat saya berhasrat untuk melaksanakannya bagi membuktikan bahawa tertuduh bersalah atas tujuh pertuduhan yang dihadapinya seperti yang telah dibacakan di hadapan Yang Arif.

“Tertuduh sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri yang kesalahan itu dilakukan juga serentak ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan, dengan itu menggabungkan kuasa politik maksimum dan mengawal kewangan negara,” katanya di hari pertama perbicaraan.

Thomas juga berkata “Pelaksanaan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan bahawa ‘semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang’ jelas dibuktikan melalui perbicaraan ini. Seorang bekas perdana menteri didakwa di bawah proses sewajarnya di mahkamah di negara ini seperti mana-mana tertuduh yang lain.

“Tertuduh tidak terkecuali daripada undang-undang dan pendakwaan dan perbicaraan ini harus dijadikan duluan bagi semua pemegang jawatan berkenaan pada masa depan,” kata beliau.

Berikut adalah antara perkara utama yang ditampilkan dalam kenyataan pembukaan pendakwaan yang dibacakan oleh Thomas.

Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa tertuduh terlibat secara langsung dalam keputusan bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk memberi jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion yang diterima oleh SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (“KWAP”).
Bukti juga akan menunjukkan bahawa pada bulan Disember 2014, kad kredit yang dituduh, dicaj sebanyak USD130,625 bagi perbelanjaan yang dibuat di Chanel, sebuah kedai fesyen eksklusif di Honolulu.
Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa cek peribadi dikeluarkan, antaranya sebagai bayaran untuk kerja-kerja pengubahsuaian yang dilaksanakan di kediaman tertuduh di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, kediaman tertuduh di Pekan, Pahang, dan juga cek dikeluarkan kepada pelbagai parti politik komponen Barisan Nasional.
Dalam membuktikan tuduhan menyalahguna kedudukannya, bukti dalam bentuk lisan, dokumentari serta keadaan akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi menunjukkan cadangan penubuhan SRC International Sdn Bhd, cadangan penubuhan geran RM3 billion, permohonan SRC International bagi mendapatkan pinjaman kerajaan RM3.95 billion, pelantikan Lembaga Pengarah SRC International, dan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SRC International.
Pihak pendakwaan juga akan menunjukkan perkara-perkara yang membawa kepada kelulusan oleh kerajaan Malaysia, menerusi Kementerian Kewangan, pemberian jaminan kerajaan untuk RM2 billion berpihak kepada SRC International dan pemberian jaminan kerajaan untuk RM2 billion lagi yang berpihak kepada syarikat itu (SRC International).
Bukti juga akan menunjukkan perkara berhubung pengaliran wang berjumlah RM42 juta, dari SRC International, disalurkan menerusi akaun syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd (subsidiary milik penuh SRC International Sdn Bhd) dan Ihsan Perdana Sdn Bhd (dikatakan dilantik sebagai rakan kongsi tanggungjawab sosial korporat SRC International).
Bagi pertuduhan pecah amanah (CBT), pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa Najiib, sebagai Perdana Menteri dan Menteri kewangan, serta Penasihat Emeritus kepada SRC International, semasa diberi kepercayaan terhadap wang milik SRC International, melakukan CBT dengan merujuk kepada wang RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta milik SRC International.
Pihak Pendakwaan juga akan menampilkan bukti bahawa bahawa Najib terbabit dengan penggubahan wang haram dengan menerima RM42 juta, sebagai hasil daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang, dalam akaun Perbankan AmPrivate.
Bukti juga akan menunjukkan bahawa Najib mengeluarkan 15 cek daripada akaun banknya yang berjumlah RM10,776,514.00.
— BERNAMA

scroll to top