Thursday , 27 June 2019

Home » Nasional » Perkampungan Orang Asli diurus oleh tok batin bersama badan progresif

Perkampungan Orang Asli diurus oleh tok batin bersama badan progresif

January 13, 2019 8:31 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Perkampungan Orang Asli diurus oleh tok batin bersama badan progresif

Datuk Ajis Sitin.

KUALA LUMPUR,. Kemajuan Masyarakat Orang Asli diberikan perhatian serius oleh kerajaan dengan pentadbiran perkampungan masyarakat terbabit diuruskan bukan sahaja melalui tok batin dan penghulu tetapi turut melibatkan badan progresif dinamakan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Datuk Ajis Sitin dalam satu kenyataan berkata anggota MPKKOA dilantik secara undian oleh penduduk tanpa mengira latar belakang politik dengan mematuhi tatacara yang ketat.

“Anggota majlis akan dipilih secara undian setiap dua tahun di mana MPKKOA menjadi ranting kepada pentadbiran JAKOA di peringkat kampung,” katanya.

Katanya selain itu, JAKOA amat menghormati institusi tok batin dan penghulu dalam kalangan suku kaum masyarakat Orang Asli di negara ini, dan kini fungsinya lebih meluas meliputi perkara-perkara berkaitan pembangunan, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya, dan bukan lagi terhad kepada isu kebudayaan dan adat resam.

“Pelantikan tok batin/penghulu dibuat melalui keturunan di mana tok batin/penghulu yang meninggal dunia hendaklah digantikan dengan anaknya,” katanya.

Ajis berkata kedua-dua institusi itu merupakan inisiatif kerajaan pusat ke arah pengurusan pembangunan manusia yang lebih berkesan dan mereka turut dibayar elaun bulanan oleh Kerajaan Persekutuan.

JAKOA yang kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri turut melakukan perancangan secara teliti supaya segala inisiatif yang dirangka akan berjaya direalisasikan, katanya.

— BERNAMA

scroll to top