Thursday , 21 March 2019

Home » Artikel Pilihan » Perlembagaan boleh bertukar sekadar hiasan

Perlembagaan boleh bertukar sekadar hiasan

November 27, 2018 2:21 pm Category: Artikel Pilihan A+ / A-
Perlembagaan boleh bertukar sekadar hiasan

Ketika hangat membicarakan isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebelum ini, ada yang mengatakan mungkin berlaku pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Ada pula jawapan bahawa pindaan tidak mungkin berlaku kerana kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga. Hujah ini dianggap ubat penenang kepada khalayak. Atas beberapa sebab, Perlembagaan moden membenarkan ia dipinda.

Justeru, atas sifat ketertinggiannya, Perlembagaan menyediakan peruntukan khas berkaitan proses pindaan melalui perbahasan dan keputusan Parlimen. Di sinilah timbulnya syarat majoriti dua pertiga.

Perlembagaan Persekutuan menyediakan empat cara pindaan kepada peruntukan berbeza.

Hanya sedikit peruntukan Perlembagaan yang boleh dipinda melalui majoriti mudah dan semua peruntukan lain hanya boleh dipinda sekiranya cadangan pindaan diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di kedua-dua Majlis Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) pada Bacaan Kedua dan Ketiga (159(3) dan (4)).

Pindaan peruntukan berkaitan Institusi Beraja dan beberapa peruntukan asas Perlembagaan, termasuk kewarganegaraan, bahasa Melayu dan kedudukan negeri berkehendakkan majoriti dua pertiga dan perkenan Majlis Raja-Raja (159(5) serta 38(4)).

Bagi Sabah dan Sarawak, pindaan yang membabitkan negeri-negeri itu hanya boleh dibuat apabila memenuhi syarat majoriti dua pertiga dan perkenan Yang di-Pertua Negeri masing-masing (161E).

Inilah sahaja proses pindaan atau per-ubahan formal Perlembagaan, namun hakikat sebenar ialah Perlembagaan juga boleh ‘dipinda’ atau diubah melalui mekanisme di luar Perlembagaan, tanpa melalui proses perbahasan dan kelulusan dua pertiga Parlimen.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan undang-undang tertinggi, ia ialah huruf yang kaku, peruntukannya tidak bernyawa. Perlembagaan tidak menghukum dan bukan seumpama Kanun Keseksaan yang menyediakan hukuman kepada sebarang perlanggaran ke atasnya. Perlembagaan hanya mengharap hukuman politik.

Perlembagaan mengharap kepada pihak lain, termasuk kerajaan dan rakyat terbanyak untuk memberikan nyawa dan kehidupan kepada setiap peruntukannya. Nyawa dan kehidupan Perlembagaan ialah melalui gubalan undang-undang dan dasar kepadanya atau tafsiran oleh mahkamah.

Walaupun Perlembagaan tidak dipinda secara formal melalui proses dinyatakan, Perlembagaan boleh terbiar, kejur dan mati jika peruntukan Perlembagaan dibiarkan tanpa undang-undang, tanpa polisi yang memberikan nyawa dan menghidupkannya.

Majoriti mudah

Jika Parlimen meluluskan akta untuk melaksanakan peruntukan Perlembagaan, akta terbabit boleh dipinda atau dimansuhkan melalui majoriti mudah dan tidak memerlukan sokongan majoriti dua pertiga seperti pindaan kepada Perlembagaan.

Sebagai contoh, Perkara 149 memberikan kuasa kepada Parlimen untuk membuat akta bagi menentang perbuatan subversif atau tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam.

Berpunca kuasa kepada Perkara 149 ini, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah diluluskan pada 1960. Namun atas desakan, kerajaan Barisan Nasional telah memansuhkan ISA pada 2012 sehingga tiada undang-undang substantif yang dibuat di bawah Perkara 149.

Pemansuhan ISA dibuat dengan majoriti mudah ketika Parlimen meluluskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA (lihat seksyen 32 SOSMA).

SOSMA, walaupun dikatakan sebagai ganti kepada ISA, tetapi kedua-duanya jauh berbeza. Dengan pemansuhan ISA, Perkara 149 tidak lagi berkesan walaupun ia terus kekal tertera secara harfiah dalam Perlembagaan.

Sementara itu Perkara 149 juga mengesahkan mana-mana akta bagi maksud memberhentikan atau mencegah tindakan subversif walaupun ia bercanggah dengan kebebasan asasi di bawah Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 9 (kebebasan bergerak), Perkara 10 (kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan) atau Perkara 13 (hak terhadap harta) bagi tujuan keselamatan negara.

ISA telah ditumpaskan. Terkini semua undang-undang yang dibuat di bawah Perkara 149 seperti Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dipersoal dan cuba dimansuhkan.

Tahanan pencegahan dicanang sebagai bercanggah dengan kebebasan asasi, sedangkan ia dibenarkan oleh Perkara 149, 150 dan 151. Sekiranya semua undang-undang pencegahan ini dihapuskan, apa jua perkara disebut dalam Perkara 149, 150 dan 151 Perlembagaan tidak dapat dilaksanakan.

Dasar pelaksanaan

Peruntukan Perlembagaan juga memerlukan dasar pelaksanaan. Perkara 152, 153 dan 89 ialah contoh peruntukan Perlembagaan dilaksanakan bukan semata-mata dengan akta, tetapi juga melalui polisi.

Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Pelaksanaannya bergantung kepada dasar kerajaan seperti dasar pendidikan, contohnya. Perkara sama boleh berlaku pada Perkara 153 yang menjamin kuota untuk orang Melayu dan Anak Negeri serta kepentingan sah komuniti lain.

Dasar ekonomi Bumiputera ialah contohnya. Sekiranya kuota itu tidak ditunaikan oleh kerajaan melalui pelaksanaan dasar, Perkara 153 tidak bermakna apa-apa.

Perkara 11(4) pula berkaitan punca kuasa Dewan Undangan Negeri atau Parlimen bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, untuk membuat undang-undang yang mengawal dan menyekat pengembangan doktrin dan kepercayaan agama dalam kalangan umat Islam.

Sehingga kini, tiga negeri dan Wilayah-Wilayah Persekutuan belum membuat undang-undang berkaitan walaupun lebih 60 tahun Perkara 11(4) ada dalam Perlembagaan.

Majoriti negeri yang telah sekian lama (lebih 30 tahun) mempunyai undang-undang itu masih belum melaksanakannya walaupun sekali. Pahang dan Selangor masing-masing menggunakannya hanya sekali.

Dalam keadaan yang dihuraikan ringkas di atas, Perlembagaan boleh disifatkan sebagai telah ‘dimandulkan,’ didiamkan dan sekaligus dimatikan. Keadaan ini boleh dilakukan dengan sistematik tanpa menukar teks Perlembagaan dan tanpa melalui majoriti dua pertiga dalam Majlis Parlimen.

Tafsiran kehakiman

Belum lagi dibincangkan ialah perubahan Perlembagaan melalui tafsiran oleh badan kehakiman. Tafsiran perkataan ‘parent’ dalam Perkara 12(4) ialah contohnya.

Selain itu, ada yang menghujah mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja berkaitan perkara berkaitan elemen tradisi, seperti bahasa Melayu dan kedudukan istimewa Melayu.

Namun hakikatnya, kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja juga memerlukan sokongan rakyat terbanyak. Walaupun berat untuk dinyatakan, tetapi hakikat dalam pengalaman negara ialah dasar ekonomi Bumiputera tidak disentuh institusi beraja.

Malah imuniti raja-raja sendiri telah dipadam daripada Perkara 32 dan 181. Pengalaman negara juga sesekali mempamerkan sikap agresif demokrasi terhadap institusi beraja.

Melihat kepada situasi politik semasa, perkara tradisi, seperti bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Anak Negeri serta agama Islam, pindaan tidak mungkin dibuat secara formal melalui pindaan teks Perlembagaan.

Namun, perubahan Perlembagaan mungkin berlaku melalui mekanisme di luar Perlembagaan. Berlaku tanpa sedar dan tanpa sukar. Sekiranya benar, lama-kelamaan Perlembagaan akan hanya menjadi perhiasan negara, bukan lagi sebuah dokumen mulia.

Penulis adalah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

scroll to top