Friday , 17 August 2018

Home » Bisnes » Perniagaan TM mungkin dipisahkan

Perniagaan TM mungkin dipisahkan

August 11, 2018 10:56 am Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
Perniagaan TM mungkin dipisahkan

KUALA LUMPUR,. Gesaan kerajaan supaya Tenaga Nasional Bhd (TNB) membuka rangkaian fibernya kepada syarikat telekomunikasi mencetuskan kemungkinan pemisahan Telekom Malaysia Bhd (TM) menjadi syarikat perkhidmatan (ServiceCo) dan syarikat aset dikawal selia (AssetCo).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, baru-baru ini berkata TNB wajar membuka rangkaian fibernya untuk menyokong keperluan negara ini meningkatkan penembusan jalur lebar.

Langkah itu, kata penganalisis, akan menyebabkan berakhirnya monopoli TM dalam sektor fiber di negara ini.

Terdapat 2.5 juta pengguna jalur lebar tetap dalam pasaran terdiri daripada 6.5 juta isi rumah seluruh negara, membolehkan terdapat peluang pertumbuhan yang besar dalam sektor itu.

TM dilaporkan mempunyai 54,000 kilometer fiber yang dipasang di seluruh dunia selain dua juta pengguna jalur lebar.

Macquarie Equities Research memberi bayangan bahawa TM boleh memainkan peranan lebih penting dalam rangkaian fiber diliberalisasikan, jika ia dipisahkan menjadi ServiceCo dan AssetCo.

Firma itu menambah, AssetCo akan menyediakan asas infrastruktur untuk pihak yang mahu menyediakan perkhidmatan jalur lebar, sama seperti Next Generation Nationwide Broadband Network (NG NBN) di Singapura.

Macquarie berkata, berdasarkan model NG NBN, saluran TM boleh ditarik keluar untuk menyediakan rangkaian teras kepada penyedia perkhidmatan.

Firma itu menilai AssetCo pada RM2.15 setiap saham TM pada 15 kali nisbah harga pendapatan (PER), dengan anggapan bahawa 80 peratus aset rangkaian telekomunikasi TM membentuk asas AssetCo dan 7.3 peratus pulangan ke atas aset.

“Dengan anggapan ServiceCo bergabung dengan pengendali mudah alih sedia ada, ServiceCo akan bernilai RM3.56 bagi setiap saham TM yang membolehkan gabungan kedua-duanya menjadi RM5.71 bagi setiap saham TM,” katanya.

Walaupun liberalisasi itu akan menjadi negatif untuk TM dalam jangka panjang, Macquarie berkata perbincangannya bersama TM memberi bayangan bahawa infrastruktur firma utiliti itu tidak mencukupi untuk membolehkan sesebuah syarikat telekomunikasi mendapatkan akses bermakna ke rumah-rumah tanpa pelaburan yang besar.

“Perbincangan Macquarie bersama TNB memberi bayangan bahawa sebahagian besar aset fiber TNB terletak di rangkaian transmisinya dengan sambungan fiber terhad di substesen.

“Di bawah Tempoh Kawal Selia 2 dari 2018 hingga 2020, sambungan fiber substesen yang hampir ke rumah-rumah akan bertambah, namun masih memerlukan syarikat telekomunikasi membina infrastruktur akhir yang juga bahagian paling mahal dalam pemasangan jalur lebar,” katanya.

scroll to top