Tuesday , 22 August 2017

Home » Bisnes » Perodua Bezza masuk Sri Lanka

Perodua Bezza masuk Sri Lanka

June 7, 2017 4:17 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Perodua Bezza masuk Sri Lanka

DATUK Dr Aminar Rashid Salleh

COLOMBO: Perodua Bezza 1.0L (transmisi automatik) membuat penampilan sulung di Sri Lanka, menjadi model kelima memasuki pasaran berkenaan. Sri Lanka adalah pasaran eksport terbesar jenama Perodua dengan sejumlah 14,000 unit dijual antara tahun 1997 dan 2017.

Unimo Enterprises Ltd yang menjadi pengedar rasmi Perodua di Sri Lanka mengimport Perodua Axia dan berjaya menjual 1, 400 unit model terbabit tahun lalu.

“PERODUA masih kecil di Sri Lanka, namun kami melihat potensi besar bersandarkan perkembangan ekonomi negara berkenaan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran dan penyerahan kunci Perodua Bezza kepada pelanggan pertama di sini, kelmarin.

Ia disempurnakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka, Wan Zaidi Wan Abdullah.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Unimo, Chanaka Yatawara; Pengarah Eksekutif PERODUA, Takamasa Kurinami; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan United Motors Ltd, Mahesh Gunathilaka.

Aminar berkata, mulai tahun ini, PERODUA akan mengkaji secara serius untuk mengembangkan lagi pasaran eksport bagi merealisasikan visi menjadi pemain serantau.

Sejak 1997, PERODUA sudah mengeksport lima model ke Sri Lanka iaitu Perodua Kancil, Kenari, Kelisa, Viva dan Bezza.

Sementara itu, Chanaka berkata, Unimo percaya Perodua Bezza akan diterima dengan baik di Sri Lanka bersandarkan ciri menarik seperti rekaan menarik, cekap bahan api dan versatil.

“Kami akan terus membangunkan jenama Perodua di Sri Lanka,” katanya.

Perodua Bezza 1.0L (transmisi automatik) dijual pada harga 3.69 juta Sri Lankan Rupees (RM103,162.29).

Info

* PERODUA mengeksport 1,600 unit dari Januari-Mei 2017 ke 6 negara termasuk Indonesia di bawah jenama Daihatsu Sirion

scroll to top