Friday , 21 June 2019

Home » Bisnes » Perodua serah 52 peratus tempahan Aruz

Perodua serah 52 peratus tempahan Aruz

June 4, 2019 5:27 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Perodua serah 52 peratus tempahan Aruz

KUALA LUMPUR,. Perodua mempercepat penghantaran tempahan kenderaan utiliti (SUV) tujuh tempat duduk, dengan 52 peratus daripada 25,000 tempahan yang diterima sehingga kini telah dipenuhi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata pengeluar kereta itu berjaya meningkatkan penghantaran Aruz secara purata sebanyak 110 unit sehari berbanding 100 sebelumnya.

“Perodua Aruz telah menerima permintaan yang belum pernah terjadi sebelumnya. Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menjadikan SUV terbaik negara ini sebagai antara SUV paling laris. Kepada pelanggan yang belum menerima kereta baharu mereka untuk Hari Raya, kami memohon maaf,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Perodua Aruz diperakui sebagai kenderaan cekap tenaga yang menerima penarafan angka penggunaan bahan api utama dalam kelasnya sebanyak 15.6 km seliter.

Dengan enam beg udara dan kawalan kestabilan kenderaan sebagai ciri standard, selain varian canggih bantuan keselamatan 2.0, Perodua Aruz mempunyai penarafan keselamatan maksimum lima bintang bagi Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (NCAP).

Pada Mei, Perodua menjual 22,943 kenderaan, menjadikan jumlah keseluruhan sepanjang lima bulan sebanyak 105,743 unit.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pembekal komponen tempatan kami yang mampu membuktikan kebolehan mereka dengan meningkatkan pengeluaran dan kualiti mereka untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada rakyat Malaysia ke atas model Perodua, dengan kesemuanya mempunyai lebih daripada 90 peratus kandungan tempatan,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top