Friday , 23 February 2018

Home » Nasional » Perompak terima upah RM20,000

Perompak terima upah RM20,000

February 13, 2018 8:26 am Category: Nasional A+ / A-
Perompak terima upah RM20,000

KUALA LUMPUR,. Sekumpulan penjenayah diberi upah RM20,000 untuk melakukan rompakan di sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Kota Damansara, Khamis lalu.

Difahamkan, dalang utama kejadian rompakan itu adalah pekerja kedai emas berkenaan yang sedang bercuti.

Sumber berkata, dalang kegiatan itu terbongkar selepas polis menahan enam lelaki berusia 23 tahun hingga 26 tahun dalam dua serbuan berasingan di Batu 3, Shah Alam dan Mont Kiara, Sabtu lalu.

“Enam lelaki berkenaan dipercayai terbabit dalam rompakan di kedai emas berkenaan dan menerima upah daripada seorang lelaki yang juga pekerja kedai emas itu.

“Setakat ini, lelaki yang bertindak sebagai perancang rompakan itu masih bebas, namun polis sudah mengenal pasti suspek berkenaan,”katanya.

Menurut sumber, dalam dua serbuan berkenaan, polis turut menemui pistol jenis Smith & Wesson yang digunakan dalam rompakan berkenaan.

“Turut ditemui, resit jualan emas, sarung tangan, topi berwarna biru dan empat peluru,”katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

“Satu sidang media akan diadakan berhubung tangkapan berkenaan esok,” katanya.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Kota Damansara, di sini, kerugian RM720,000 selepas dirompak tiga lelaki bersenjatakan sepucuk pistol.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.47 pagi itu, tiga suspek yang menaiki sebuah PERODUA Myvi berwarna putih, dilihat berlari masuk melalui satu daripada pintu utama pasar raya itu ke kedai emas yang terletak berhampiran.

Perompak melarikan lapan dulang emas dianggarkan bernilai RM720,000 dalam kejadian itu.

scroll to top