Wednesday , 12 December 2018

Home » Nasional » Persaingan Rafizi-Azmin masih sengit

Persaingan Rafizi-Azmin masih sengit

October 10, 2018 12:15 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Persaingan Rafizi-Azmin masih sengit

KUALA LUMPUR,. Selepas enam negeri selesai mengundi pada Pemilihan PKR 2018 pada Ahad lalu, keputusan semasa menyaksikan persaingan sengit apabila hanya tiga undi membezakan kedudukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli bagi merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Mohamed Azmin dan Rafizi masing-masing memperoleh 19,583 undi dan 19,580 undi selepas peti Undi Ragu dikira kelmarin berdasarkan pemilihan di Pulau Pinang dan Terengganu yang masing-masing diadakan pada 22 September dan 30 September lalu.

‘Undi ragu’ merujuk kepada undi daripada pengundi yang kelayakan mengundinya tidak dapat disahkan pada hari pengundian, namun tetap dibenarkan mengundi sementara menunggu pengesahan ibu pejabat PKR.

Rafizi setakat ini berjaya mencatat kemenangan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan sementara Mohamed Azmin pula setakat ini mengesahkan kemenangannya di Pulau Pinang dan Johor yang diadakan pada 23 September dan 1 Oktober lalu.

Bagi jawatan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar mendahului 12 pesaingnya apabila memperoleh sebanyak 23,451 undi dan diikuti oleh Zuraida Kamaruddin dengan jumlah undi sebanyak 17,895.

Dua lagi calon yang turut menduduki senarai empat undian tertinggi setakat ini adalah Chua Tian Chang iaitu sebanyak 13,963 undi dan Shamsul Iskandar, 13,605 undi.

Bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin memperoleh 4,720 undi, sekali gus mendahului dua pesaingnya iaitu Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Mohd Najwan Halimi dengan jumlah undi masing-masing sebanyak 4,667 undi dan 1,108 undi.

Manakala bagi jawatan Timbalan AMK, didahului dengan 5,963 undi oleh Hilman Idham, diikuti dengan Raymond Ahuar sebanyak 2,764 undi dan Naqiuddin Nazrin, 1,099 undi.

Sementara itu, bagi jawatan Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha yang memperoleh 7,352 undi mengenepikan Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh (5,930 undi) dengan kelebihan 1,422 undi.

Jawatan Timbalan Ketua Wanita menyaksikan Daroyah Alwi mendahului dengan 7,344 undi, sekali gus meninggalkan pesaingnya, Rodziah Ismail yang memperoleh sebanyak 5,153 undi.

scroll to top