Friday , 22 June 2018

Home » Artikel Pilihan » Pertahankan kedaulatan institusi beraja, Islam

Pertahankan kedaulatan institusi beraja, Islam

May 29, 2018 1:19 pm Category: Artikel Pilihan, Nasional A+ / A-
Pertahankan kedaulatan institusi beraja, Islam

Gambar fail, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan menandatangani Surat Perisytiharan di hadapan Perdana Menteri pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-244 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 13 Disember, 2016. - Foto ihsan Jabatan Penerangan

Hal-hal berkaitan institusi Islam adalah antara perkara yang viral di media sosial pasca- Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Bagaimanapun, sehingga kini tidak banyak kenyataan berkaitan perkara berkenaan disuarakan oleh wakil kerajaan.

Saya percaya kedudukan Islam dan institusi-institusinya yang nyata disebut dalam Perlembagaan Persekutuan mendapat perhatian sewajarnya oleh barisan kepemimpinan negara.

Ini berdasarkan kepada kenyataan yang disebut dalam Buku Harapan: Membina Negara Memenuhi Harapan (Buku Harapan) yang menyenaraikan Manifesto Pakatan Harapan (PH).

Saya petik beberapa bahagian dalam Buku Harapan untuk ditatapi pembaca. Antara lain, Buku Harapan menyatakan bahawa;

“Falsafah pentadbiran Pakatan Harapan adalah berdasarkan falsafah dan lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, visi yang telah dibawa oleh pejuang negara. Matlamat ini terangkum dalam Maqasid Syariah (matlamat syariah yang lebih tinggi) buat memandu program pembangunan negara yang akhirnya memberi rahmat dan keadilan untuk seluruh rakyat Malaysia.”

“Pakatan Harapan mengulangi ikrar yang telah termaktub dalam Perjanjian Pakatan Harapan (9 Januari 2016), iaitu akan: Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan; Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmonis di negara ini sejajar dengan Perkara 3; serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain yang sejajar dengan Perkara 153. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan.”

Pentadbiran berdasar keadilan, maqasid syariah

Perincian kepada petikan-petikan di atas didapati pada halaman 45-47 dan janji ke-11 PH untuk ‘mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi-institusinya’.

Antara lain, dinyatakan pada halaman 45, bahawa: ‘Kuasa Raja-Raja Melayu dalam mentadbir agama dan adat istiadat Melayu akan dikembalikan ke negeri-negeri dan campur tangan Kerajaan Pusat akan dihentikan’.

Berdasarkan petikan-petikan dari Buku Harapan, adalah didapati bahawa PH berjanji untuk melaksanakan sebuah pentadbiran yang berdasarkan kepada keadilan dan maqasid syariah dengan mengambil perhatian kedudukan agama Islam sebagai agama bagi negara dan mengiktiraf kebebasan beragama dengan formula aman dan harmonis.

Buku Harapan juga menyatakan ikrar untuk menjaga keistimewaan Melayu dan Anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah komuniti lain seperti yang diiktiraf oleh Perkara 153.

Mengenai Islam, seperti yang kita dapati pada prinsip dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, terutama dalam Perkara 3(2), Islam adalah urusan negeri-negeri dan Islam adalah terletak hak pada Raja-Raja bagi negeri, sama ada dalam hal perundangan serta pentadbirannya.

Tidak kecewakan kedudukan Islam

Bagi negeri yang tidak mempunyai Raja (Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak) dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), hal ehwal Islam adalah terletak hak kepada Yang di-Pertuan Agong dan Parlimen adalah badan perundangan berkaitan Islam bagi Wilayah Persekutuan.

Secara umumnya, apa yang dinyatakan dalam Buku Harapan itu tidak mengecewakan kedudukan Islam dan institusi-institusi berkaitan Islam, terutama institusi beraja.

Adalah jelas dari dahulu sehingga kini bahawa kedudukan Islam di negeri-negeri tidak menjadi persoalan besar kerana ia adalah manifestasi kepada persetujuan yang disepakati institusi beraja dan dengan jelas sekali dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jaminan yang diberikan kepada kedudukan Islam di negeri-negeri dan jaminan supaya Islam dinaungi Raja, menunjukkan kerajaan amat memahami kedudukan Islam serta peranan yang perlu dimainkan raja bagi negeri sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kesan baik daripada pendekatan ini ialah ia akan mengurangkan keberangkalian bahawa hal-hal berkaitan Islam dijadikan bahan untuk memancing undi atau menjadikan Islam sebagai subjek kepartian dalam arena politik.

Justeru, kesan daripada pendekatan ini pada peringkat kerajaan bagi setiap negeri ialah, negeri-negeri juga hendaklah mengambil inisiatif dalam pentadbiran negeri masing-masing agar peranan dan fungsi Raja berkaitan Islam sentiasa dihormati pimpinan negeri.

Dalam merealisasikan kuasa dan fungsi Raja-Raja terhadap agama Islam di negeri-negeri, ia juga memerlukan komitmen tinggi daripada kerajaan negeri berkenaan dengan memberi penghormatan kepada Raja sebagai ketua agama Islam.

Dalam menggubal dasar pentadbiran di negeri, hendaklah juga mengambil kira dan memberikan kepentingan kepada kedudukan institusi beraja dalam hal-hal berkaitan Islam.

Secara jelasnya juga, semua institusi Islam adalah bertanggungjawab secara langsung kepada institusi beraja dan seharusnya tiada campur tangan politik dalam pelaksanaan Islam secara pentadbiran atau perundangan.

Oleh itu, dalam realiti pelaksanaan fungsi dan kuasa institusi Islam pada peringkat negeri, ia perlu dilaksanakan dengan cekap dan berwibawa agar kuasa yang berada di bawah naungan Raja-Raja tidak dipandang serong dan menjadi bahan bicara negatif mana-mana pihak.

Institusi Islam termasuk institusi pentadbiran, perundangan dan pendidikan seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti dan Mahkamah Syariah semestinya mempunyai peranan tersendiri.

Masing-masing berperanan untuk menunjukkan martabat sebenar agama Islam dan pada masa sama, mengangkat kemuliaan institusi beraja sebagai institusi yang menaungi agama Islam.

Sementara itu, undang-undang Islam dan fatwa di negeri perlu diberikan nafas baharu. Ini termasuk proses penambahbaikan perundangan dan juga reformasi dalam proses penguatkuasaan undang-undang Islam.

Perkara serupa perlu berlaku dalam hal berkaitan pendidikan Islam.

Semua ini perlu diperkasakan di negeri-negeri dan Raja-Raja perlulah memainkan peranan utama dalam menggerak dan merealisasikan kedudukan Islam di negeri-negeri.

Mengenai jaminan Kerajaan PH terhadap kedudukan Islam dan institusi beraja, sudah tentu sebagai rakyat, kita membaca dan menghayati janji-janji berkaitan.

Sudah tentu, kita amat mengharapkan kerajaan terus menjaga kedaulatan institusi beraja, kedudukan Islam sebagai agama negara serta memastikan semua institusi Islam berjalan seperti dihasratkan Perlembagaan Persekutuan di bawah naungan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Penulis adalah Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

BH

scroll to top