Tuesday , 25 June 2019

Home » Bisnes » Pertumbuhan ekonomi global, Malaysia lebih perlahan – Bank Dunia

Pertumbuhan ekonomi global, Malaysia lebih perlahan – Bank Dunia

January 9, 2019 2:06 pm Category: Bisnes, Dunia, Ekonomi A+ / A-
Pertumbuhan ekonomi global, Malaysia lebih perlahan – Bank Dunia

KUALA LUMPUR,. Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 4.7 peratus tahun ini, menjejaki unjuran perlahan ekonomi global secara keseluruhannya.

Bank Dunia juga mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara ini akan terus berkembang perlahan kepada 4.6 peratus pada 2020.

Angka Bank Dunia itu adalah lebih rendah berbanding unjuran rasmi kerajaan pertumbuhan ekonomi 4.9 peratus yang diumumkan semasa Belanjawan 2019.

Dalam laporan Prospek Ekonomi Global Januari 2019 bertajuk “Langit Kelam”, Bank Dunia berkata, pelaburan awam lebih rendah di Malaysia mempengaruhi pertumbuhan, seperti dicerminkan oleh beberapa projek infrastruktur yang telah disiapkan dan pendekatan lebih berhemah untuk projek-projek baharu.

Bank Dunia berkata, berbeza dengan trend serantau, pertumbuhan import Malaysia adalah lemah, mencerminkan kurangnya permintaan bagi import barangan modal ditambah import lebih rendah barangan perantara.

Tambahnya, Malaysia juga berdepan beberapa ketidaktentuan, termasuk peningkatan paras hutang awam dan swasta, hutang luar dan penyertaan pelabur asing dalam pasaran bon berdaulat mata wang tempatan.

“Kos kenaikan tarif import akan meningkat berikutan penyertaan Malaysia dalam rantaian nilai global yang rumit,” katanya dalam laporan berkenaan.

Laporan Bank Dunia itu juga menjelaskan bahawa Malaysia adalah antara negara yang mempunyai tahap pendidikan tertinggi dan paras pekerjaan tidak rasmi yang terendah.

Bank Dunia dalam laporan itu berkata pertumbuhan ekonomi global dijangka perlahan kepada 2.9 peratus pada 2019, berbanding tiga peratus unjuran untuk 2018.

Ia berkata risiko turun naik kepada ekonomi dunia telah menjadi semakin meruncing, termasuklah ancaman ‘gangguan’ pergerakan pasaran dan pertikaian dagangan yang semakin meningkat.

Kelemahan hutang dalam pasaran baru muncul dan negara sedang membangun juga meningkat, katanya.

“Unjuran bagi ekonomi global semakin kelam. Situasi kewangan global juga semakin sempit dengan pengeluaran industri menjadi sederhana, ketegangan dagangan semakin memuncak dan beberapa pasaran baharu muncul yang besar dan ekonomi sedang membangun sedang mengalami tekanan pasaran kewangan.

“Pemulihan dalam pasaran baharu muncul dan ekonomi sedang membangun dilihat sudah kehilangan momentum apabila berhadapan dengan cabaran terbabit,” kata bank berkenaan.

Kos pinjaman yang meningkat dan perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China juga telah menyuramkan unjuran pertumbuhan global dan pelabur.

Ditubuhkan pada Perang Dunia Kedua untuk membiayai pembinaan semula Eropah, Bank Dunia kini memberi tumpuan untuk mengurangkan kemiskinan di seluruh dunia.

Ia telah menyalurkan pinjaman berjumlah AS$64 bilion dalam tahun kewangan berakhir 30 Jun tahun lalu.

scroll to top