Saturday , 15 December 2018

Home » Nasional » Pesakit jantung koronari di Malaysia lebih muda berbanding negara maju

Pesakit jantung koronari di Malaysia lebih muda berbanding negara maju

November 19, 2018 5:35 pm Category: Nasional A+ / A-
Pesakit jantung koronari di Malaysia lebih muda berbanding negara maju

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mencuba mesin 'Bioelectrical Impedance Analysis' ketika melawat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas merasmikan Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat PPUM hari ini.

KUALA LUMPUR,. Purata umur pesakit jantung koronari di Malaysia iaitu 59 tahun adalah jauh lebih muda berbanding negara maju, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurutnya, lingkungan umur itu adalah lima hingga enam tahun lebih muda berbanding pesakit di negara maju, dan serangan jantung koronari merupakan jenis penyakit jantung yang paling kerap dihidapi masyarakat Malaysia.

“Oleh itu, langkah pencegahan dari segi perubahan gaya hidup kepada yang lebih sihat adalah penting,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Jantung Sedunia peringkat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) 2018 di sini hari ini.

Beliau menjelaskan faktor risiko serangan jantung sebahagian besarnya berkait rapat dengan gaya hidup seseorang individu dan penyakit tidak berjangkit (NCD) misalnya kencing manis (diabetes), darah tinggi (hipertensi), tahap kolesterol tinggi (hiperkolesterolaemia), berat badan berlebihan (obesiti) dan merokok.

Dr Wan Azizah berkata apa yang merisaukan adalah peratusan statistik bagi NCD seumpama itu menunjukkan peningkatan dan mengumpamakan situasi itu sebagai ‘bom jangka’ yang boleh meledak bila-bila masa.

“Hasilnya ramai yang menghidap penyakit jantung dan pelbagai komplikasi dalam bentuk penyakit kronik yang lain akibat penyakit NCD,” kata Dr Wan Azizah.

Beliau menarik perhatian bahawa mesyuarat Jawatankuasa Kabinet bagi Persekitaran Hidup Sihat (JKPHS) yang dipengerusikannya pada 1 Nov lalu menjadi platform membincang dan mengenal pasti tindakan susulan bagi menangani NCD dengan 15 inisiatif utama dipersetujui bagi pelaksanaan berperingkat.

Antara dasar utama yang diuar-uarkan semasa pembentangan Belanjawan 2019 lalu ialah pengenalan cukai eksais bagi minuman bergula mulai 1 April 2019 dan perluasan kawasan larangan merokok melibatkan semua restoran atau kedai makanan mulai 1 Jan 2019.

“Ini menjadi bukti keprihatinan kerajaan dalam memerangi penyakit NCD yang semakin serius di Malaysia,” kata Dr Wan Azizah.

Dalam pada itu, beliau berkata di bawah Kementerian Kesihatan, 10 hospital menawarkan perkhidmatan rawatan jantung dan tujuh hospital pula menawarkan perkhidmatan rawatan bedah jantung.

“Hospital universiti di bawah Kementerian Pendidikan turut menawarkan rawatan jantung dan bedah jantung termasuk PPUM, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Hospital Universiti Teknologi Mara dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM),” kata Dr Wan Azizah.

Menurutnya, penyakit kardiovaskular kekal menjadi penyebab utama kematian di hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dengan 10,284 kematian atau 22.62 peratus daripada jumlah kematian direkodkan pada 2017.

Pada majlis itu, beliau merasmikan dewan bedah utama dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di PPUM yang dinaik taraf dengan anggaran kos RM66.6 juta.

Dr Wan Azizah turut menyaksikan penyerahan dana RM1.5 juta oleh Yayasan Sime Darby kepada PPUM untuk membantu kos perubatan pesakit jantung bagi tempoh sehingga 2020.

— BERNAMA

scroll to top